Sinar Aidilfitri Warga Emas Tanpa Risiko Jangkitan Wabak | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
» ARTIKEL » Sinar Aidilfitri Warga Emas Tanpa Risiko Jangkitan Wabak

Sinar Aidilfitri Warga Emas Tanpa Risiko Jangkitan Wabak

Warga emas mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19 dan mungkin berdepan dengan komplikasi yang lebih serius akibat penyakit kronik sedia ada. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berulang kali menekankan risiko koronavirus terhadap golongan warga emas, baik yang berada dalam komuniti mahupun di institusi penjagaan. Daripada 114 kes kematian COVID-19 yang dilaporkan setakat 21hb Mei 2020, 66.7% adalah terdiri daripada warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas.

Bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei 2020 menandakan usaha Kerajaan untuk membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berperingkat.  Pelaksanaan PKPB adalah berteraskan konsep penjarakan sosial untuk mengurangkan risiko penularan wabak koronavirus, seiring dengan fasa penjanaan semula dan pemulihan ekonomi negara. Penjarakan sosial merupakan satu-satunya perlindungan yang paling berkesan terhadap penyebaran COVID-19 memandangkan penghasilan vaksin atau imuniti berkelompok bukanlah pilihan yang tersedia dalam jangka masa terdekat. 

Pada 3hb Mei 2020 juga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan untuk membuat saringan COVID-19 terhadap semua penghuni dan kakitangan pusat-pusat jagaan warga emas kelolaan pihak kerajaan dan swasta. Program tersebut dilaksanakan secara berperingkat mengikut jadual dan setakat 21hb Mei 2020, 182 pusat jagaan warga emas telah disaring dan 18 kes positif berjaya dikesan daripada sampel 6,702 penghuni dan kakitangan. Lima belas (15) pusat jagaan warga emas terbabit merupakan penambahan kepada kluster warga emas yang diumumkan telah tamat pada 7hb Mei 2020. Menurut KKM, kluster pusat jagaan warga emas di Klang dan Petaling sebelum ini telah menyebabkan 36 orang dijangkiti dengan 5 kes kematian.

Pelbagai langkah telah diambil oleh pelbagai pihak untuk memastikan agar wabak koronavirus dapat dibendung dan dielakkan daripada menjangkiti warga emas. Sejak awal bulan Mac lagi, Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas Se-Malaysia (AgeCOpe) telah menyarankan agar kunjungan pelawat ke rumah orang-orang tua disekat dan penerimaan penghuni baharu dihentikan buat sementara waktu. Terkini, pihak KKM telah mengarahkan semua pesakit warga emas yang telah discaj dan kembali ke pusat jagaan perlu disaring terlebih dahulu dengan ujian COVID-19. Pelbagai garis panduan, ringkasan dasar, cadangan peraturan serta amalan dan soalan lazim telah dikongsikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN), KKM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pertubuhan sukarelawan dan profesional dalam dan luar negara. Niat dan harapannya adalah sama – supaya kita semua bersama-sama dapat mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi warga emas yang berisiko tinggi daripada dijangkiti COVID-19.

Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia, UPM menyeru agar rakyat Malaysia mematuhi prosedur operasi PKPB, terutamanya dengan tidak melakukan pergerakan rentas negeri untuk berhari raya. Jika ingin menziarahi ahli keluarga warga emas, cukuplah sekadar melalui panggilan telefon atau bersemuka secara atas talian. Bantulah warga emas untuk mendapatkan bekalan ubat atau keperluan lain supaya mereka tidak perlu kerap keluar rumah. Pelaksanaan amalan kebajikan yang lazim dilakukan di pusat-pusat jagaan warga emas sempena musim perayaan boleh diteruskan menerusi saluran dan kaedah sumbangan alternatif. Kehadiran secara fizikal merupakan satu bentuk risiko kesihatan kerana penyebaran COVID-19 boleh berlaku tanpa sedar. Tambahan lagi, ramai dalam kalangan penduduk Malaysia yang masih kurang peka akan wujudnya pesakit asimptomatik atau individu yang tidak menunjukkan apa-apa gejala. Pesakit COVID-19 asimptomatik mungkin menjangkiti orang lain secara tidak sengaja kerana mereka sendiri tidak menyedari bahawa mereka adalah pembawa kuman virus tersebut. Orang ramai digalakkan supaya mengamalkan prosedur kebersihan dan kesihatan seperti mengenakan pelitup muka, menggunakan cecair sanitasi tangan, serta mandi setelah pulang ke rumah jika perlu berurusan di luar. Bagi kediaman pula, orang ramai diingatkan untuk membersihkan dan menyahkuman permukaan yang mudah dicemari seperti tombol pintu, telefon dan susur tangan.

Pada musim perayaan ini, sudah pasti ramai warga emas yang mengharapkan anak-anak pulang ke kampung dan juga sebaliknya. Namun demikian, inilah masanya untuk kita mencari penyelesaian menerusi rangkaian sanak saudara dan sahabat handai di kampung. Jiran tetangga boleh bertanya khabar agar mereka tidak kesunyian atau kebuntuan apabila memerlukan bantuan. Komuniti setempat pula boleh membantu warga emas memperoleh akses kepada Internet atau peralatan telekomunikasi. Warga emas boleh belajar menggunakan internet untuk berkomunikasi dan anak-anak serta cucu-cucu boleh selalu melayan atuk dan opah dari kejauhan. Bertanyakan khabar janganlah hanya pada musim perayaan. Tunjukkan keprihatinan dan kasih sayang dengan sentiasa kekal berhubung. Kirimkan buah tangan melalui pos atau perkhidmatan penghantaran yang kini boleh sampai terus ke kampung.

Jika anda tahu ada jiran warga emas yang akan menyambut Hari Raya ini berseorangan, ajaklah untuk meraikan Aidilfitri bersama-sama dengan berkongsi juadah istimewa. Kalau pandai berkomunikasi melalui WhatsApp, aturkan panggilan video kepada anak-anaknya. Berilah hadiah dan sumbangan kepada warga emas dengan bantuan yang ikhlas. Banyak pusat-pusat jagaan memerlukan kelengkapan pelindungan diri (PPE), selain daripada sumbangan kewangan dan barangan keperluan. Sesungguhnya wabak koronavirus ini banyak membuka ruang dan peluang untuk kita saling membantu demi kesejahteraan semua. Sinar Aidilfitri yang suram untuk warga emas nescaya akan bergemerlapan semula dengan kasih sayang yang dikongsi bersama.

 

Prof. Madya Dr. Rahimah Ibrahim
Timbalan Pengarah
Institut Penyelidikan Penuaan MalaysiaUniversiti Putra Malaysia
Tel: +603 - 9769 2751
E-mel:  imahibrahim@upm.edu.my

 

Tarikh Input: 28/05/2020 | Kemaskini: 13/06/2020 | lizamdnor

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
SXDdSAB~