Hidangan Ciptaan Baharu: Inspirasi Untuk Kesejahteraan Warga Emas | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing®)
» BERITA » Hidangan Ciptaan Baharu: Inspirasi untuk Kesejahteraan Warga Emas

Hidangan Ciptaan Baharu: Inspirasi untuk Kesejahteraan Warga Emas

SERDANG, 23 Jan - Hari Pembangunan Menu Warga Emas yang pertama kali diadakan di Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®) telah berlangsung dengan jayanya melalui kerjasama pintar bersama Laboratori Gerontologi Sosial, MyAgeing® dan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia. Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mempamerkan kreativiti serta inovasi mereka dalam penyediaan makanan yang sesuai dan sihat untuk warga emas.
 
 
Dengan tema "Menu untuk Warga Emas", program ini memperlihatkan bagaimana para pelajar FSTM dapat meneroka kreativiti mereka dalam penghasilan menu makanan yang bukan sahaja sihat tetapi juga relevan dengan keperluan pemakanan warga emas. Selain itu, para pelajar berpeluang mendapatkan nasihat dan maklum balas daripada pakar penuaan serta warga emas itu sendiri, memastikan hasil inovasi mereka memenuhi keperluan gaya hidup dan kesihatan golongan tersebut.
 
 
Menu Stik Cendawan Bumi Rustik dari kumpulan Innov-Eats telah dipilih sebagai Menu Terbaik. Menu tersebut mendapat pujian daripada Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz. Beliau berkata "Teksturnya sangat memuaskan dengan kelembutan yang sempurna.
 
Sebagai tambahan, program ini juga disertakan dengan ceramah kesihatan mental yang sangat relevan bagi warga emas dalam usaha menjaga kesejahteraan minda mereka. Selain itu, terdapat gerai pameran hasil masakan yang mempamerkan menu inovatif yang telah dihasilkan oleh para pelajar. Pengunjung juga berpeluang untuk membeli makanan di gerai jualan kenderaan saji yang disediakan di luar bangunan MyAgeing®.
 

 
Melalui program ini, MyAgeing® berharap dapat menggalakkan inovasi dalam bidang makanan dan perkhidmatan makanan, dengan memberi tumpuan khusus kepada peningkatan kualiti hidup warga emas. Selain itu, pelajar turut diberi peluang untuk mengasah kemahiran dalam pemasaran dan pembentangan produk mereka, yang berpotensi memberi manfaat besar kepada masyarakat, terutamanya golongan warga emas.
 
"Terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini, termasuk FSTM, staf MyAgeing®, serta para pelajar yang telah memberikan komitmen yang cemerlang. Terima kasih juga kepada warga emas yang memberi sokongan dan maklum balas yang sangat berharga." Pengarah, Prof. Madya Dr. Rahimah Ibrahim berkata.
 
Katanya lagi, semoga program ini terus memberi inspirasi kepada semua peserta dan pengunjung untuk terus berinovasi dan mencipta hidangan yang lebih baik serta sihat untuk warga emas, seterusnya memberi impak positif kepada masyarakat dan industri makanan di masa hadapan.
 
      

 

Disediakan oleh:

 

Siti Suhailah Abdullah
Ketua Unit Pengurusan Makmal
Tel: +603 - 9769 2736
E-mel: sue@upm.edu.my

Tarikh Input: 24/01/2025 | Kemaskini: 28/01/2025 | norhanika

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing®)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
X, (06:55:45pm-07:00:45pm, 07 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]