Kursus Pengurusan Aktiviti Harian Warga Emas Serta Penggunaan Alat Sokongan Dan Adaptif | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing®)
» BERITA » Kursus Pengurusan Aktiviti Harian Warga Emas serta Penggunaan Alat Sokongan dan Adaptif

Kursus Pengurusan Aktiviti Harian Warga Emas serta Penggunaan Alat Sokongan dan Adaptif

SERDANG, 17 Jun – Jawatankuasa Latihan dan Sumber Pembelajaran (TERA), Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Aktiviti Harian Warga Emas serta Penggunaan Alat Sokongan dan Adaptif sempena National Training Week (NTW) 2025. Kursus ini berlangsung di Bilik Latihan, MyAgeing®, UPM dan telah disampaikan oleh Dr. Siti Noraini Binti Asmuri, Pensyarah Kanan, Jabatan Perubatan Rehabilitasi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.
 
Seramai 44 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan UPM, petugas pusat jagaan warga emas dan orang awam telah menyertai kursus ini. Para peserta diberi pendedahan mengenai pendekatan berkesan dalam pengurusan aktiviti harian warga emas serta pengenalan kepada pelbagai jenis alat sokongan dan adaptif yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap kefungsian dan kualiti hidup golongan berkenaan.
 
Antara aspek penting yang diketengahkan ialah dua komponen utama dalam penilaian keupayaan individu, iaitu Aktiviti Harian Asas (Basic Activities of Daily Living – BADL) dan Aktiviti Harian Instrumental (Instrumental Activities of Daily Living – IADL). BADL merangkumi tugasan asas penjagaan diri seperti makan, mandi, berpakaian dan menggunakan tandas, manakala IADL melibatkan aktiviti yang lebih kompleks seperti pengurusan ubat-ubatan, penyediaan makanan, membeli-belah dan penggunaan peralatan komunikasi. Penilaian terhadap kedua-dua aspek ini amat penting dalam menentukan tahap kebergantungan seseorang dan seterusnya keperluan intervensi yang sesuai dalam penjagaan harian.
 
Kursus ini turut menyediakan sesi praktikal dan simulasi penggunaan alat bantuan, membolehkan para peserta mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam situasi sebenar. Penyertaan aktif peserta sepanjang program mencerminkan komitmen mereka dalam memperkukuh kemahiran serta kefahaman terhadap penjagaan holistik warga emas.
 
Bagi mereka yang ingin memperkukuhkan kepakaran mereka, kami mengalu-alukan permohonan untuk kursus yang dianjurkan oleh MyAgeing® di alamat e-mel berikut: tera.myageing@upm.edu.my

Tarikh Input: 17/06/2025 | Kemaskini: 17/06/2025 | n_asyikin

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing®)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
X, (04:26:41am-04:31:41am, 08 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]