|
Taiping, 25 Nov — Inisiatif Bandar Mesra Usia di Taiping terus mendapat perhatian apabila Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Sosial dan Masyarakat, Majlis Dewan Negara, mengadakan lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Taiping (MPT) hari ini.
MyAgeing®, UPM, turut serta dalam rangka lawatan ini sebagai salah satu pihak yang berperanan dalam pembangunan inisiatif ini.
YBrs. Prof. Madya Dr. Rahimah Ibrahim, Pengarah MyAgeing®, dalam ucapannya menekankan bahawa Taiping berperanan penting sebagai contoh bagaimana bandar boleh mengadaptasi keperluan warga emas. Beliau menyatakan,“Inisiatif ini bukan sahaja mengenai penyediaan infrastruktur mesra warga emas, tetapi turut memberi manfaat kepada semua peringkat usia. Bandar mesra usia bukan sekadar memenuhi keperluan warga emas, tetapi juga mewujudkan persekitaran yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat.”
Ucapan Tuan Haji Ahmad Shariffuddin bin Kassim, Pengarah Khidmat Pengurusan selaku wakil Yang Dipertua MPT, pula menekankan komitmen pihak berkuasa tempatan dalam menjayakan inisiatif ini. Dalam ucapannya, beliau turut berkongsi projek-projek yang telah dilaksanakan oleh MPT yang merangkumi pembangunan infrastruktur yang mesra usia, peningkatan aksesibiliti awam, serta program komuniti yang bertujuan memperkukuh kesejahteraan sosial dan keterlibatan semua golongan usia di Taiping.
Dalam ucapan utamanya, YB Senator Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli menegaskan bahawa usaha mewujudkan bandar mesra usia adalah sebahagian daripada strategi nasional bagi membina komuniti yang inklusif. Beliau menegaskan bahawa inisiatif seumpama ini adalah asas kepada masyarakat yang harmoni, dan Taiping sedang menunjukkan bagaimana konsep ini boleh direalisasikan.
Sesi perkongsian oleh YM Dato' Dr. Tengku Aizan Hamid, Felo Akademi Sains Malaysia dan Pengerusi Lembaga Pengarah, Pentadbir Pencen Swasta, memberi gambaran menyeluruh tentang peranan bandar mesra usia dalam mengukuhkan kesejahteraan masyarakat. Beliau menekankan bahawa pendekatan kolaboratif adalah penting, termasuk penglibatan kerajaan, NGO, dan komuniti setempat.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka. Lawatan ini mengukuhkan komitmen Taiping dalam terus menjadi perintis kepada bandar mesra usia di Malaysia, selaras dengan agenda global ke arah mewujudkan komuniti inklusif dan mesra usia.
|
|
![]() |
![]() |
Disediakan Oleh:
|
|
Siti Farra Zillah Abdullah Pegawai Penyelidik Kanan Tel: +603 - 9769 2743 Faks: +603 - 9769 2744 E-mel: farra@upm.edu.my |
Tarikh Input: 29/11/2024 | Kemaskini: 29/11/2024 | norhanika

Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA