Lawatan Unit Pengurusan Makmal, MyAgeing® UPM ke Bromeliad House of Puan Hasnah@Kelab Padusi
DENGKIL, 20 September - Unit Pengurusan Makmal, Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia, UPM (MyAgeing®) telah mengadakan lawatan ke Laman Bromeliad Pn. Hasnah Abu Hassan bertempat di Jalan Dato Dagang Mondok, Kampung Jenderam Ulu Dengkil. Kedatangan kakitangan MyAgeing® disambut mesra oleh ahli-ahli Kelab Padusi yang diketuai oleh Pn. Hajah Hasnah Hassan atau lebih dikenali sebagai Kak Long iaitu Pengerusi Kelab Padusi.
Salah seorang ahli kelab ini iaitu Pn. Hajah Nooraini Mat Din merupakan kakitangan UPM yang telah bersara pada tahun 2006 turut serta dalam lawatan ini. Kunjungan MyAgeing® diketuai oleh Puan Nur Hidayah Tina, En. Farid Jihadi Sulaiman, Pn. Norasyidah Mohd Noor, Cik Nurul Ain Mohd Anuar, En. Mohd Fadli Abd. Halim dan seorang pegawai dari Pusat Pertanian Putra, UPM iaitu Pn. Wan Suhana Wan Talib.
Lawatan ini bertujuan untuk menjalinkan kerjasama dengan Kelab Padusi selari dengan hasrat MyAgeing® dalam perancangan untuk memperkasakan jaringan kerjasama dengan komuniti warga emas bagi program pertanian di Makmal Hortikultur dan Taman Terapeutik di MyAgeing®. Lawatan ini juga telah memberi peluang kepada ahli Kelab Padusi untuk mengenali Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), UPM dengan lebih dekat.
Peserta MyAgeing® juga berkesempatan untuk mengunjungi beberapa laman bromeliad yang diusahakan oleh ahli-ahli Kelab Padusi. Laman-laman bromeliad disusun dengan cantik dan menarik. Diharapkan lawatan ini dapat dimanfaatkan oleh para peserta.
Disediakan oleh:
Tarikh Input: 23/09/2024 |
Kemaskini: 23/09/2024 | norhanika
PERKONGSIAN MEDIA