
SERDANG, 14 Januari – Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®) telah menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat dan Lawatan Halatuju Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dengan konsep The 3rd Age University.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Profesor Dr. Zamberi Sekawi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM. Perbincangan ini memfokuskan kepada usaha memperkukuh peranan UPM sebagai pusat pembelajaran untuk semua golongan umur, khususnya dalam menyokong warga emas yang ingin terus belajar dan menyumbang kepada masyarakat.
Pembentangan utama telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Rahimah Ibrahim, Pengarah MyAgeing®. Delegasi mesyuarat dan lawatan ke MyAgeing dari Kementerian Ekonomi dan Bahagian Pembangunan, Kementerian Pendidikan Tinggi ini telah diketuai oleh YBhg. Datin Dr. Syahira binti Hamidon, Timbalan Pengarah (Pendidikan), Bahagian Pembangunan Modal Insan, Kementerian Ekonomi. Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah YBrs. Pn. Ir. Maznah Sahran, Pengarah Pembangunan dan Pengurusan Aset, UPM, serta pasukan penyelidik dari MyAgeing®. Selepas mesyuarat, semua delegasi telah dibawa melawat fasiliti dan kemudahan yang disediakan di MyAgeing®, yang direka untuk menyokong pembelajaran sepanjang hayat dan penyelidikan dalam bidang penuaan.
Sementara itu, inisiatif PSH telah dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan objektif untuk menyediakan peluang pembelajaran berterusan kepada komuniti, khususnya warga emas, dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, kemahiran baharu, dan kesejahteraan sosial.
Lawatan ini menjadi platform penting untuk membincangkan langkah strategik bagi menjadikan UPM sebagai peneraju University of the 3rd Age yang inklusif dan berdaya saing.
Tarikh Input: 27/01/2025 |
Kemaskini: 27/01/2025 | lizamdnor
PERKONGSIAN MEDIA