
SERDANG, 21 Mei – Jawatankuasa Latihan dan Sumber Pembelajaran (TERA), Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan program bertajuk “Minda Aktif, Usia Sihat: Peranan Rangsangan Kognitif Dalam Penuaan Sihat”. Program ini dikendalikan oleh Dr. Harnisha Haidhir dari Jabatan Perubatan Rehabilitasi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia dan dihadiri seramai 30 peserta terdiri daripada penyelidik, profesional kesihatan, penjaga warga emas serta orang awam melalui platform Google Meet.
Menurut beliau, Malaysia kini berdepan peningkatan populasi warga emas susulan penurunan kadar kelahiran dan kadar kesuburan negara yang berada di bawah paras penggantian penduduk. Bila kadar kesuburan berada di bawah paras ini, bilangan penduduk muda akan semakin berkurang dan peratus warga emas akan meningkat. Justeru, usaha memelihara kesihatan mental dan fungsi kognitif perlu diberi perhatian bagi memastikan warga emas dapat menjalani kehidupan yang sihat, aktif dan berkualiti.
Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan kepada konsep penuaan sihat serta kepentingan kesihatan kognitif dalam mengekalkan fungsi otak dan mencegah kemerosotan kognitif dalam kalangan warga emas. Pelbagai strategi rangsangan minda turut dikongsikan termasuk terapi mengimbau kenangan lama (Reminiscence Therapy), aktiviti orientasi realiti (Reality Orientation), permainan minda, latihan memori serta aktiviti sosial berkumpulan yang berpotensi membantu meningkatkan fungsi kognitif dan kesejahteraan emosi.
Selain itu, peserta turut diberi penerangan mengenai kepentingan aktiviti bermakna (meaningful activities) yang selaras dengan minat, peranan dan keupayaan individu di samping amalan rutin harian yang seimbang melibatkan rehat, tidur, pengurusan stres dan interaksi sosial bagi menyokong kesejahteraan hidup warga emas. Program turut mengetengahkan contoh intervensi antarabangsa seperti program rangsangan kesihatan otak dan rehabilitasi demensia dari Jepun yang menggunakan pendekatan berstruktur dan berasaskan aktiviti berkumpulan untuk menyokong fungsi kognitif warga emas.
Penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan kognitif serta menggalakkan pengamalan aktiviti rangsangan minda sebagai persediaan menghadapi era masyarakat menua di Malaysia.
![]() |
![]() |
Disediakan oleh:
Farid Jihadi Sulaiman
Pegawai Eksekutif
Tarikh Input: 21/05/2026 | Kemaskini: 21/05/2026 | ainulmardiyyah

Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA