KOTA BHARU, 16 Nov – Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia, menyeru isu penuaan negara dilihat sebagai agenda serius nasional melalui pendekatan berasaskan ilmu dan sokongan komuniti, susulan penglibatan aktifnya dalam Karnival MyPesara 2025 anjuran Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) di Mydin Tunjong.
Dalam sesi Sembang MyPesara, Ketua Laboratori Gerontologi Sosial MyAgeing®, Dr. Wan Arnidawati Wan Abdullah, menekankan bahawa penuaan sihat bukan sekadar kesihatan fizikal, tetapi bergantung pada hubungan sosial yang kukuh, sokongan emosi, pembelajaran sepanjang hayat dan penglibatan aktif dalam komuniti. “Persaraan bukan penamat, tetapi permulaan fasa hidup yang boleh diurus secara positif,” tegasnya, sambil menggesa keluarga dan masyarakat lebih memahami perubahan warga emas agar interaksi lebih mesra dan berempati.
Pengarah MyAgeing®, Prof Madya Dr. Rahimah Ibrahim, turut dilantik sebagai juri Anugerah MyPesara 2025 yang mengiktiraf pesara cemerlang dalam bidang sosial, pendidikan dan keusahawanan – satu pengiktirafan kepada kepakaran penyelidikan penuaan MyAgeing® dalam menyokong perancangan dasar dan inisiatif inklusif untuk warga emas.
Karnival MyPesara 2025 menyediakan platform kepada pesara mendapatkan maklumat kewangan, kesihatan dan aktiviti sosial, manakala penyertaan MyAgeing® menambah dimensi pendidikan dan kesedaran bahawa penuaan adalah proses semula jadi yang memerlukan persediaan awal dan terancang. MyAgeing® menegaskan, penuaan sihat hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat kerajaan, komuniti dan keluarga, dengan sokongan sosial yang kukuh, peluang pembelajaran berterusan serta akses kepada maklumat yang tepat.
Sejak 2018, MyAgeing® dan KWAP telah bekerjasama melalui Retirement-Oriented Development Design Competition (RODDC 2019) dan pelaksanaan penyelidikan Agenda Strategik Persaraan, bagi memahami keperluan penjawat awam dan pesara serta mengenal pasti jurang dalam perkhidmatan persaraan sedia ada, ke arah pengalaman persaraan yang lebih baik dan mampan.
Tarikh Input: 18/11/2025 | Kemaskini: 18/11/2025 | n_asyikin

Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA