Serdang, 24 Jun – Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®ï¸) telah meraih tempat ketiga dalam RePlastic Nation Competition sempena sambutan World Environment Day @ UPM 2025 yang dianjurkan oleh Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM.
Penyertaan MyAgeing kali ini menampilkan projek arca bertajuk “MyAgeing’s Tree of Hope”, sebuah hasil seni berinspirasikan elemen kelestarian dan amalan upcycling, yang dihasilkan sepenuhnya daripada botol plastik terpakai. Projek ini turut melibatkan kerjasama erat antara staf dan komuniti warga emas MyAgeing®ï¸, di mana idea serta semangat mereka telah memperkayakan konsep arca tersebut sebagai simbol sokongan merentas generasi.
Projek ini merupakan inisiatif bersama tiga orang staf MyAgeing, iaitu Nurul Asyikin Mohd Taib (wakil penerima hadiah), Norasyidah, dan Nor Hanika. Meskipun dibangunkan dalam tempoh yang singkat, arca ini berjaya menyampaikan mesej mendalam berkaitan kerjasama, kesedaran terhadap kelestarian, serta sokongan warga kerja terhadap misi kempen Ending Plastic Pollution.
“Kami hanya menggunakan bahan yang ada di sekeliling – tanpa membeli bahan baharu. Pokok ini bukan sekadar simbol, tetapi juga harapan agar kesedaran terhadap isu plastik terus bercambah dalam komuniti kerja kita,” ujar Puan Nurul Asyikin ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.
Kemenangan ini bukan sahaja mencerminkan semangat inovatif staf MyAgeing, malah turut menegaskan komitmen berterusan institusi dalam memperkasakan khidmat masyarakat dan memupuk budaya kelestarian demi kesejahteraan generasi akan datang.
Tarikh Input: 25/06/2025 | Kemaskini: 02/07/2025 | n_asyikin

Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA