Kuala Lumpur, 2 Julai - Persidangan ASEAN + ROK on Care and Support for Older Persons telah berlangsung pada 30 Jun hingga 1 Julai 2025 di Kuala Lumpur, menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dari negara-negara ASEAN dan Republik of Korea dalam usaha memperkukuh sistem sokongan dan penjagaan warga emas serantau.
Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Rahimah Ibrahim telah dijemput sebagai salah seorang panel dalam Forum 2: Ageing, Older Persons and the Community. Beliau membentangkan topik bertajuk “Who Cares? Understanding the Care and Support Needs of Older Persons in Malaysia”, yang mengetengahkan dapatan penyelidikan dan cabaran semasa dalam memenuhi keperluan penjagaan warga emas di negara ini.
Selain itu, MyAgeing® turut menyertai persidangan ini melalui pameran reruai, yang mempamerkan pelbagai inisiatif, hasil penyelidikan serta alatan intervensi berkaitan penjagaan dan kesejahteraan warga emas. MyAgeing® turut berbesar hati menerima kunjungan YB Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di reruai kami. Beliau meluangkan masa mencuba sendiri beberapa peralatan interaktif, termasuk FIBOD Digital Balance Board yang digunakan dalam program intervensi kesihatan kami.
Penyertaan dan kerjasama Sekretariat bersama MyAgeing® dan KPWKM ini menzahirkan komitmen negara-negara terlibat dalam membina masyarakat yang berdaya tahan dan mesra usia di rantau ASEAN.
MyAgeing® turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini, khususnya Pejabat Bursar dan APSeC, Universiti Putra Malaysia yang turut terlibat dalam penganjuran majlis ini. Penghargaan khas turut ditujukan kepada para pengucaptama dan Speaker jemputan yang sudi hadir berkongsi ilmu dan pandangan sepanjang persidangan ini.
Tarikh Input: 02/07/2025 | Kemaskini: 02/07/2025 | n_asyikin

Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA