SERDANG, 20 Ogos – Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®) buat kali kedua telah menyertai Pertandingan Koir Merdeka Inter-PTJ yang dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM). Pertandingan yang berlangsung di Dewan Panggung Percubaan ini menyaksikan penyertaan sebanyak 23 buah pusat tanggungjawab (PTJ).
Pasukan MyAgeing® menampilkan kekuatan seramai 25 orang staf, merangkumi semua lapisan warga kerja termasuk pengurusan, profesional, pelaksana dan pembantu penyelidik.
Persembahan penuh semangat ini mempertaruhkan lagu ikonik ‘Standing in the Eyes of the World’ yang dipopularkan oleh Ella, dihiasi dengan sentuhan istimewa melalui deklamasi sajak oleh Pengarah, langkah silat sebagai simbol warisan budaya bangsa oleh Timbalan Pengarah, serta iringan keyboard oleh Ketua Laboratori Gerontologi Perubatan dan Geronteknologi.
Penyertaan MyAgeing® pada tahun ini menyerlahkan semangat kebersamaan dan kesungguhan warga institut dalam mempamerkan kreativiti serta menyemarakkan sambutan Semarak Merdeka UPM tahun 2025.
Pertandingan Koir Merdeka Inter-PTJ UPM ini diadakan setiap tahun bagi memupuk rasa cinta kepada negara, menggilap bakat seni warga kampus, serta mengukuhkan semangat perpaduan. Para peserta diadili berdasarkan nada dan tona suara, teknik koir, gaya persembahan dan pakaian, serta kreativiti.
MyAgeing® merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan institut atas sokongan padu serta kepada semua staf yang telah memberikan komitmen tinggi dalam menjayakan persembahan kali ini.
Tarikh Input: 21/08/2025 | Kemaskini: 21/08/2025 | n_asyikin

Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA