Pameran MyAgeing® Sempena Hari Terbuka Pascasiswazah UPM 2025 Anjuran Sekolah Pengajian Siswazah (SGS), UPM | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing®)
» BERITA » Pameran MyAgeing® sempena Hari Terbuka Pascasiswazah UPM 2025 Anjuran Sekolah Pengajian Siswazah (SGS), UPM

Pameran MyAgeing® sempena Hari Terbuka Pascasiswazah UPM 2025 Anjuran Sekolah Pengajian Siswazah (SGS), UPM

 
Serdang, 15 Oktober - Jawatankuasa Siswazah dan Antarabangsa, Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai aktiviti pameran sempena Hari Terbuka anjuran Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), UPM. Program tersebut telah berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM dan melibatkan penyertaan pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) Di UPM. Pameran ini bertujuan untuk memperkenalkan dan mempromosikan program-program pengajian siswazah yang ditawarkan oleh MyAgeing® kepada bakal pelajar, khususnya di peringkat Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD).

Sepanjang pameran berlangsung, reruai MyAgeing® menerima kunjungan ramai calon pelajar dari pelbagai latar belakang akademik dan negara. Wakil MyAgeing® telah memberikan penerangan berkaitan bidang penyelidikan, peluang pembiayaan, dan fasiliti penyelidikan yang ditawarkan oleh institut. Aktiviti ini berjaya memperkukuh jaringan akademik serta menarik minat calon pelajar untuk menyambung pengajian dalam bidang berkaitan penuaan.

Pameran ini turut menekankan kepentingan penyelidikan dalam bidang penuaan sejajar dengan status Malaysia yang menuju ke arah negara menua. Penyelidikan amat penting kerana ia membantu merangka dasar kesihatan, sosial dan ekonomi yang lebih sesuai dengan keperluan warga emas. Melalui kajian yang dijalankan di MyAgeing®, pelbagai isu seperti kesihatan fizikal dan mental, kesejahteraan sosial serta persekitaran mesra warga emas dapat dikenal pasti dan ditangani dengan lebih berkesan. Usaha ini bukan sahaja menyokong kerajaan dalam menggubal polisi yang inklusif dan mampan, malah memberi peluang kepada pelajar memahami peranan mereka dalam menyumbang kepada pembangunan negara melalui penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang penuaan.

MyAgeing® ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Laboratori Gerontologi Sosial, Dr. Wan Arnidawati Wan Abdullah, ahli-ahli Jawatankuasa Siswazah dan Antarabangsa MyAgeing® dan semua staf sokongan yang telah membantu menjayakan pameran ini dengan dedikasi dan komitmen yang tinggi.

Sementara itu, MyAgeing® menawarkan program pengajian pascasiswazah Master of Science (MSc) dan Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Gerontologi Sosial, Gerontologi Perubatan dan Geronteknologi. Untuk maklumat lanjut sila layari
https://myageing.upm.edu.my/akademik/program_pengajian_pascasiswazah/program_pengajian_pascasiswazah_ippm-3477

Tarikh Input: 16/10/2025 | Kemaskini: 29/10/2025 | n_asyikin

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing®)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
X, (03:28:24am-03:33:24am, 08 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]