Penghidap Alzheimer Makin Bertambah, Malaysia Masih Tiada Pelan Demensia Kebangsaan | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
» BERITA » Penghidap Alzheimer makin bertambah, Malaysia masih tiada Pelan Demensia Kebangsaan

Penghidap Alzheimer makin bertambah, Malaysia masih tiada Pelan Demensia Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menjadi negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk.
Namun, Malaysia masih belum mempunyai Pelan Demensia Kebangsaan, iaitu persediaan dari segi polisi, rangka kerja, perancangan dan pelan tindakan apabila penduduknya yang berusia berdepan pelbagai risiko penyakit.
 
Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Prof Madya Ir Dr Siti Anom Ahmad menegaskan pihaknya amat menyokong penubuhan Pelan Demensia Kebangsaan dalam menangani krisis kesihatan utama abad ke-21 ini. "Kalau kita tiada atau lambat mewujudkan pelan ini, ia akan menyebabkan kita kurang persediaan dalam menghadapi penyakit ini. "Kami menyeru kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menetapkan sasaran tindakan dan pelaksanaan Pelan Demensia Kebangsaan di Malaysia. "Sudah tiba masa negara kita untuk tetapkan rangka tindakan dan komitmen sendiri dalam menekankan demensia sebagai salah satu keutamaan dalam kesihatan awam," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI. Jelasnya, pelan tersebut tidak semestinya sesuatu yang baharu, tetapi juga menambah baik atau menyelaraskan program sedia ada menerusi kerjasama sektor awam dan swasta. Mengakui Malaysia masih kurang pendedahan dan pengetahuan berkenaan penyakit Alzheimer, Dr Siti Anom berkata pelan itu akan jadi pemangkin dalam membantu penghidap penyakit tersebut menjalani kehidupan seperti biasa. Menurutnya, walaupun data menunjukkan penyakit ini dihidapi lima hingga lapan peratus rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas, namun tanpa pelan penjagaan rapi ia akan memberi kesan kepada penjaga serta keluarga pesakit. "Tanpa perancangan yang rapi dan pelan pelaksanaan yang mampan, beban penjagaan demensia yang kurang difahami ramai akan membawa kepada kepincangan sosial.
 
"Penjagaan untuk warga emas biasa atau yang tiada penyakit Alzheimer adalah berbeza dengan warga emas yang mempunyai sakit Alzheimer walaupun cuma lima hingga lapan peratus sahaja menghidapinya. "Namun, kita masih perlu memberikan perancangan yang rapi macam mana untuk latih penjagaan untuk pesakit Alzheimer," katanya. Justeru beliau melihat insurans penjagaan jangka panjang seperti yang dilaksanakan beberapa negara termasuk Jepun menjadi antara medium penjagaan yang wajar dilaksanakan di negara ini.
Katanya, Pelan Demensia Kebangsaan itu akan membantu 'generasi sandwich' iaitu golongan pertengahan usia yang mempunyai komitmen bukan sahaja membesarkan anak-anak tetapi juga menjaga ibu bapa mereka. "Malaysia dah perlu mula kuat kuasa dan melaksanakan insurans penjagaan jangka panjang kerana apabila seseorang itu mencapai usia tua, pelbagai isu kesihatan dan juga penjagaan akan berlaku. "Kita tahu 'generasi sandwich' ini menjadikan anak-anak tidak mampu memenuhi sistem penjagaan, jadi saya melihat insurans penjagaan jangka panjang ini dapat membatu dari segi kaedah pembiayaan," ujarnya. Kajian menunjukkan demensia akan memberi impak kepada tenaga buruh negara apabila dianggarkan tiga orang atau penjaga akan terkesan daripada seseorang yang mempunyai simptom demensia atau menghidapi penyakit Alzheimer.
 
Artikel ini telah disiarkan oleh Astro Awani pada 21 September 2020

Lihat Artikel Penuh

Tarikh Input: 22/09/2020 | Kemaskini: 22/09/2020 | lizamdnor

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
SXDdEAm~