Program Pembangunan Keusahawanan Integrasi Pertanian Tanpa Tanah (PeTaH) Sayuran Dan Penternakan Lebah Kelulut Suntik Semangat Warga Emas Untuk Kembali Aktif | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
» BERITA » Program Pembangunan Keusahawanan Integrasi Pertanian Tanpa Tanah (PeTaH) Sayuran dan Penternakan Lebah Kelulut suntik semangat warga emas untuk kembali aktif

Program Pembangunan Keusahawanan Integrasi Pertanian Tanpa Tanah (PeTaH) Sayuran dan Penternakan Lebah Kelulut suntik semangat warga emas untuk kembali aktif

 

 

SERDANG, 30 September – Sempena sambutan hari warga emas sedunia pada 1 Oktober setiap tahun, Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing™), Persatuan Kebajikan dan Aktiviti Sosioekonomi Ahli MyAgeing (MyKASE) dan Fakulti Pertanian, UPM telah mengadakan Majlis Perasmian Program Citi-UPM Pendayaupayaan Kewangan untuk Wanita Matang Melalui Pembangunan Keusahawanan Integrasi Pertanian Tanpa Tanah (PeTaH) Sayuran dan Penternakan Lebah Kelulut. Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah MyAgeing™, Prof. Ir. Dr. Siti Anom Ahmad. 

Pengarah MyAgeing™ meluahkan rasa gembira dan berpuas hati dengan sambutan penyertaan program PeTAH dan penternakan Lebah Kelulut ini.

Yang Berbahagia Prof. Ir. Dr. Siti Anom Ahmad berkata hasil dan dapatan penyelidikan di MyAgeing™ diterjemahkan dalam pelbagai bentuk sama ada produk, modul latihan, pelbagai penerbitan, program-program pembangunan keusahawanan, program latihan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat yang menyasarkan warga emas dan mereka yang terlibat dalam Industri Penuaan (silver industry).”

“Program Citi-UPM Pendayaupayaan Kewangan untuk Wanita Matang merupakan salah satu program action research yang menyantuni wanita matang golongan B40.”

“Harapan saya program ini menjadi salah satu suntikan semangat kepada warga emas untuk terus memastikan lima (5) dimensi program penuaan dapat diterjemah melalui program ini.

“Lima (5) Dimensi penuaan adalah penuaan sihat, penuaan aktif, penuaan produktif, penuaan positif dan penuaan menyokong.”

Turut hadir Timbalan Dekan Pembangunan, Jaringan lndustri dan Masyarakat, Fakuti Pertanian mewakili Dekan Fakulti Pertanian, Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin.

 

 

Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakuti Pertanian Yang Berbahagia Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin berkata program ini merupakan satu usaha murni dalam memindahkan ilmu kepada komuniti supaya produktif dan mampu menjana pendapatan melalui aktiviti pertanian.

“Fakulti Pertanian, UPM akan memberikan komitmen terbaik menerusi bantuan kepakaran, latihan, input pertanian, pegawai pengembangan pertanian serta pelajar yang mahir berinteraksi dengan komuniti dalam program-program pemindahan ilmu.”

“Program kali ini merupakan satu perkara baharu untuk sasaran peserta warga emas kepada pasukan Fakulti Pertanian, namun ia merupakan cabaran yang akan disantuni dengan baik.”

Pengerusi Program, YBrs. Prof. Madya Dr. Zumilah Zainalaludin berkata dan turut meluahkan rasa bersyukur dan berharap program ini mencapai matlamat yang disasarkan dan kesejahteraan, ilmu serta kemahiran peserta dapat dipertingkatkan.

“Bukan itu sahaja peserta juga diharapkan mampu untuk membangunkan program PeTaH mereka sendiri di tempat masing-masing dan berniaga.”

“Mereka bukan sahaja boleh menjana pendapatan sendiri menerusi aktiviti keusahawanan tetapi juga turut boleh besosial dan bercampur dengan kawan-kawan dan belajar pelbagai aktiviti baharu bersama-sama.”

Secara amnya program ini ditawarkan kepada wanita berumur 40 tahun dan ke atas yang berminat dan tinggal tidak jauh daripada MyAgeing™. Sebahagian daripada mereka terdiri daripada ahli U3A Selangor dan Kuala Lumpur, PAWE Putrajaya, Ahli KRT Serdang, serta KRT Putra Harmoni Putrajaya. Program ini akan berlangsung selama tiga (3) bulan dalam dua pusingan pengeluaran. Pemantauan penuh dalam pusingan pengeluaran pertama dan pada pusingan pengeluaran kedua, peserta perlu bergerak dalam kumpulan.

 

 

Tarikh Input: 02/10/2022 | Kemaskini: 02/10/2022 | lizamdnor

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
SXDdAAH~