Seterra Anjur Dialog Penjagaan Warga Emas Islam Antarabangsa Yang Pertama Di Dunia | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
» BERITA » Seterra anjur Dialog Penjagaan Warga Emas Islam Antarabangsa yang pertama di dunia

Seterra anjur Dialog Penjagaan Warga Emas Islam Antarabangsa yang pertama di dunia

 




SYARIKAT perkhidmatan penjagaan kesihatan Seterra, yang menumpukan fokus menaiktarafkan standard penjagaan warga emas berkonsepkan Islam akan mengadakan Dialog Seterra Penjagaan Warga Emas Islam pertama di dunia yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur, pada 22 Februari 2022.

Dialog Seterra diadakan bertujuan mencari pendekatan inovatif baharu untuk membentuk konsep atau standard penjagaan warga emas berasaskan Islam dengan matlamat menyatukan pendapat mereka yang berpengaruh di dalam ekosistem, termasuk wakil badan kerajaan, majlis agama persekutuan dan negeri, pengendali industri, institusi kewangan dan pelabur asing dari seluruh dunia.

Dialog yang diusahakan oleh Kumpulan Syarikat Seterra itu akan memupuk kerjasama dan mencetuskan idea revolusi serta mendedahkan kemungkinan baharu dalam membentuk persekitaran model perniagaan yang stabil, mengubah persepsi terhadap penjagaan warga emas berasaskan Islam, serta mencapai standard dan penanda aras global serta pembiayaan kewangan dan pengurusan kekayaan dalam industri penjagaan warga emas Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Seterra, Rashidi Yahaya berkata: “Dari 2025 sehingga 2050, jumlah penduduk warga tua yang berumur 65 tahun ke atas dijangka akan meningkat dua kali ganda kepada 1.6 bilion di seluruh dunia, dengan 8.3 juta daripadanya adalah dari negara ini. Sehubungan itu, Malaysia dijangka akan menjadi ‘negara tua’ menjelang 2045.

“Ini bermakna kita akan dibanjiri dengan penduduk yang beruban dan kita perlu bersedia! Ia merupakan pasaran yang belum diterokai dan mempunyai banyak cabaran. Dalam menghadapi keadaan ini, kita memerlukan penyelesaian yang menggunakan teknologi dan kreativiti baharu di samping berlandaskan al-Quran dan hadis.”

Di bawah tema “Perjalanan mendapatkan Husnul Khatimah”, Dialog Seterra akan membariskan penceramah-penceramah tempatan dan antarabangsa seperti Mufti dan Hakim dari United Kingdom, Sheikh Dr Sajid Umar, Mufti Perlis, Prof Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidi atau dikenali sebagai Dr Maza, Ketua Majlis Tarjih Muhammadiyah, Prof Dr Syamsul Annuar dari Indonesia dan lain-lain.

“Dialog Seterra akan menjadi pusat pertemuan bagi peserta industri untuk bersidang dan membincangkan mengenai pendekatan inovatif untuk mengoptimumkan kemudahan kesihatan dan kesejahteraan penjagaan warga emas. Dialog pertama seumpamanya di dunia ini akan memberi peluang dan akses kepada peserta untuk bertukar-tukar pendapat dan kerjasama yang akan seterusnya merevolusikan konsep penjagaan warga emas pada masa akan datang. Kami menjemput semua pihak untuk bersama-sama menyertai Dialog Seterra dalam membentuk satu standard penjagaan warga emas baharu di masa depan,” katanya.

Dialog Seterra: Penjagaan Warga Emas Islam telah dianjurkan dengan kerjasama Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeingTM) Universiti Putra Malaysia serta sokongan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) (MyCEB), agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif PICOMS, Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman berkata: “Kami amat gembira dapat menganjurkan Dialog Seterra mengenai Penjagaan Warga Emas Islam kerana sedang mengadakan kerjasama dengan Seterra Healthcare dalam meningkatkan standard di semua kemudahan penjagaan pada masa depan dengan memberikan latihan dan sijil kepada penjaga golongan tersebut yang diiktiraf antarabangsa keluaran daripada PICOMS.

“Kami juga percaya bahawa PICOMS dan Seterra berkongsi objektif yang sama dalam menyediakan sistem penjagaan terbaik untuk warga emas supaya dapat menjalani kehidupan pada penghujung usia dalam persekitaran selesa dan tenang dengan memberikan standard penjagaan yang tinggi tanpa mengira status sosial mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah MyAgeing UPM, Profesor Ir Dr Siti Anom Ahmad berkata: “Sebagai institut penyelidikan kebangsaan dalam bidang penuaan, MyAgeing berbangga dapat terbabit dengan Dialog Seterra mengenai penjagaan warga emas Islam kerana perlunya satu usaha digerakkan oleh semua pihak untuk menjayakan sistem penjagaan warga emas di Malaysia pada dekad yang akan datang.

“Penemuan dan penyelidikan mengenai warga emas yang dilakukan oleh MyAgeing sejak penubuhannya pasti akan memberikan manfaat kepada Seterra dalam membina kemudahan penjagaan warga emas Islam bertaraf antarabangsa. Selain itu, penyelidikan saintifik pada masa hadapan dengan Seterra yang akan dijalankan di tempat mereka akan juga dapat memberikan manfaat kepada pembangunan sains penjagaan warga emas di Malaysia,” tambahnya.

Dialog Seterra menawarkan tempat persidangan untuk lebih 800 peserta yang boleh menyertai secara fizikal atau maya. Deklarasi Damansara yang bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi pusat penjagaan warga emas berkonsep Islam menjelang 2040 akan diumumkan ketika acara itu berlangsung. Selain penceramah yang dinamik dan menarik, peserta juga akan dapat menghadiri perbincangan panel, forum dan sesi rangkaian dengan beberapa orang individu paling berpengaruh di dalam industri.

Mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi peserta dan menyertai usaha membentuk sistem penjagaan warga emas berkonsepkan Islam untuk masa depan yang akan diadakan pada 22 Februari 2022 ini, boleh mendaftar di www.seterradialogue.com.

Tarikh Input: 26/01/2022 | Kemaskini: 26/01/2022 | lizamdnor

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
SXEUHAW~