
SERDANG, 7 Mei – Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®ï¸), Universiti Putra Malaysia telah menerima kunjungan hormat daripada 21 orang delegasi Pegawai Kerja Sosial Perubatan Malaysia bersempena Program Primer Pegawai Kerja Sosial Perubatan Malaysia.

Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada para peserta mengenai peranan penting MyAgeing®ï¸ dalam menerajui penyelidikan dan pembangunan berkaitan isu-isu penuaan di negara ini. Di samping itu, lawatan ini membuka ruang kerjasama strategik antara institusi penyelidikan dan amalan profesional, sekali gus memperkukuh pendekatan interdisiplin dalam usaha meningkatkan kesejahteraan warga emas.
Dalam sesi taklimat, Ketua Laboratori Gerontologi Sosial, Dr. Puvaneswaran Gunasekaran berkongsi mengenai fungsi dan peranan utama MyAgeing®ï¸ serta pelbagai inisiatif yang dijalankan bagi menyokong agenda penuaan sihat dan aktif di Malaysia.

Antara pengisian utama program termasuk pembentangan oleh Pn. Norisma Aiza Ismail, Pegawai Penyelidik dari MyAgeing®ï¸, yang membentangkan dapatan kajian berkaitan isu penjagaan warga emas, khususnya dalam konteks sokongan sosial dan implikasi dasar. Sesi diteruskan dengan perkongsian oleh En. Muhammad Amirul Aidil bin Rosli dari Seksyen Kaunseling dan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), yang menekankan peranan penting kerja sosial perubatan dalam persekitaran hospital pengajar serta perkhidmatan sokongan psikososial yang ditawarkan oleh HSAAS.

Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang tahun 2030, iaitu apabila 15% daripada populasinya berusia 60 tahun dan ke atas. Justeru, sinergi antara penyelidikan dan amalan profesional seperti ini amat penting dalam memastikan negara bersedia menghadapi cabaran penuaan penduduk secara bersepadu, inklusif dan mampan.
Tarikh Input: 23/05/2025 | Kemaskini: 23/05/2025 | lizamdnor

Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA