Taiping Di Landasan Yang Betul Realisasikan Bandar Mesra Usia | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
» BERITA » Taiping di landasan yang betul realisasikan Bandar Mesra Usia

Taiping di landasan yang betul realisasikan Bandar Mesra Usia

 

TAIPING, 10 April 2021-Usaha menjadikan Taiping sebagai Bandar Mesra Usia kini berada di landasan yang betul dengan pelbagai hala tuju dirancang Majlis Perbandaran Taiping (MPT) yang dijangka siap secara berperingkat tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata menerusi Rancangan Kawasan Khas Bandar Warisan Taiping (RKK), pembaharuan itu antara lain mengandungi pelbagai pembangunan seperti di kawasan tasik, tapak warisan dan pasar.

"Antara yang dirancang dan sedang berjalan adalah pemuliharaan dan baik pulih Pasar Besar Taiping, pembangunan Taman Tasik Kamunting dan Taman Tasik Diraja Taiping.

"Selain itu, pembaharuan RKK ini juga mengandungi terma-terma Mesra-Usia, sebagai komponen bandar yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)," katanya selepas melancarkan Survei Taiping dan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman antara MPT dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Nolee berkata Taiping juga telah dipilih sebagai perintis untuk menjalankan kajian mendapatkan penilaian asas mengenai Bandar Mesra-Usia berlandaskan piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Justeru katanya, kerajaan negeri memohon kerjasama orang ramai dalam survei di lapangan yang sedang dijalankan bersama-sama dengan UPM dalam mencapai hala tuju yang dirancang MPT.

Terdahulu beliau menyaksikan pemeteraian MOU tersebut iaitu MPT diwakili Yang Dipertuanya Khairul Amir Mohamad Zubir manakala UPM diwakili Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Prof Madya Ir Dr Siti Anom Ahmad sebagai satu asas kerjasama dan pemudah cara kepada survei tersebut.

-- BERNAMA

Artikel ini telah disiarkan oleh Astro Awani pada 10 April 2021
Lihat Artikel Penuh

Tarikh Input: 12/04/2021 | Kemaskini: 04/07/2022 | lizamdnor

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
SXDdTAc~