UPM RAIKAN HARI WARGA EMAS 2025: WARGA EMAS, WAJAH MASA DEPAN KITA | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing®)
» BERITA » UPM RAIKAN HARI WARGA EMAS 2025: WARGA EMAS, WAJAH MASA DEPAN KITA

UPM RAIKAN HARI WARGA EMAS 2025: WARGA EMAS, WAJAH MASA DEPAN KITA

Serdang, 31 Oktober – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®ï¸) meraikan Sambutan Hari Warga Emas 2025 Peringkat UPM sepanjang bulan Oktober dengan pelbagai aktiviti bertemakan “Warga Emas, Wajah Masa Depan Kita.” Majlis penutupan sambutan disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan bin Mohd Sadullah.

Tema tahun ini menzahirkan mesej bahawa masa depan masyarakat dan negara bergantung kepada usaha menghargai serta menyokong kehidupan warga emas masa kini. Warga emas bukan beban, sebaliknya aset sosial dan sumber kebijaksanaan yang penting untuk memperkukuh kesejahteraan serta ketahanan generasi akan datang.

Sebagai pusat penyelidikan kebangsaan dalam bidang penuaan, MyAgeing®ï¸ memainkan peranan penting dalam memperkukuh kefahaman terhadap isu penuaan melalui penyelidikan berimpak, latihan, advokasi dasar dan kolaborasi strategik di peringkat nasional serta antarabangsa.
Sepanjang bulan Oktober, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan termasuk Pameran “Warga Emas, Wajah Masa Depan Kita,” Siri Latihan Mikro, Podcast Cherita MyAgeing, serta sesi libat urus bersama pemegang taruh daripada pelbagai pertubuhan dan agensi.

Dalam ucapan penutupnya, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan mencadangkan agar program ‘Jiwa Putra’ diperluas bagi menggalakkan penglibatan pelajar dalam program intergenerasi bersama warga emas. Beliau menegaskan bahawa interaksi antara generasi muda dan warga emas bukan sahaja memupuk empati dan kefahaman, malah mengukuhkan nilai kasih sayang serta perpaduan sosial dalam komuniti.

Sambutan ini diakhiri dengan Forum RMK-13: Penuaan dan Masa Depan Negara, yang menjadi platform wacana ilmiah menghimpunkan penggubal dasar bagi membincangkan hala tuju serta strategi pembangunan negara dalam menghadapi cabaran masyarakat menua.
Majlis turut dihadiri oleh YM Tengku Aira Razif, Penolong Wakil Negara, United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia, warga UPM, wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, komuniti warga emas serta pelajar universiti. Inisiatif ini menzahirkan komitmen bersama MyAgeing®ï¸, pusat tanggungjawab UPM dan rakan strategik dalam memperkasa agenda penuaan aktif di Malaysia.

Tarikh Input: 31/10/2025 | Kemaskini: 31/10/2025 | n_asyikin

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing®)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
X, (04:05:19am-04:10:19am, 08 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]