Jom Belajar AI: Kehidupan Pintar & Pemerkasaan Warga Emas Dalam Dunia Digital | MALAYSIAN RESEARCH INSTITUTE ON AGEING (MyAgeing®) myageing
» NEWS » Jom Belajar AI: Kehidupan Pintar & Pemerkasaan Warga Emas dalam Dunia Digital

Jom Belajar AI: Kehidupan Pintar & Pemerkasaan Warga Emas dalam Dunia Digital

 
SERDANG, 18 Ogos - Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), di bawah inisiatif Gerbang ILMU, dengan kerjasama Jawatankuasa Latihan dan Sumber Pembelajaran (TERA), Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia (UPM), telah menganjurkan program “Jom Belajar AI: Kehidupan Pintar Era Digital” yang dihadiri oleh 45 orang pesara. Program ini bertujuan memperkenalkan konsep asas dan aplikasi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) yang boleh dimanfaatkan oleh warga emas bagi memudahkan urusan serta menyokong kehidupan seharian.
 
Program ini dikendalikan oleh YBrs. Ts. Dr. Rusli bin Haji Abdullah, Profesor Adjung, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM. Melalui sesi penerangan dan praktikal, peserta didedahkan kepada pelbagai aplikasi AI dan teknologi pintar seperti ChatGPT, Google Assistant, Google Maps, Google Lens dan Google Translate. Aplikasi tersebut diperkenalkan sebagai teknologi yang dapat membantu memudahkan urusan harian, mendapatkan maklumat, berkomunikasi, mencari lokasi, menterjemah bahasa serta menyokong pembelajaran dan penerokaan ilmu secara kendiri.
 
Selain kemahiran praktikal, program ini turut menekankan kepentingan keselamatan dan penggunaan AI secara bertanggungjawab. Peserta diberi pendedahan mengenai langkah-langkah mencegah scam dan phishing, melindungi maklumat peribadi serta mengenal pasti risiko ketika menggunakan teknologi digital. Aspek etika dan prinsip Islam dalam penggunaan AI turut diberikan penekanan bagi memastikan teknologi dimanfaatkan secara berhemah, selamat dan bertanggungjawab. Penganjuran program ini selaras dengan komitmen MyAgeing®, UPM dalam memperkasa penuaan aktif dan sihat melalui pembelajaran sepanjang hayat serta peningkatan literasi digital dalam kalangan warga emas. Penguasaan asas AI dapat membantu warga emas menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, melaksanakan urusan harian dengan lebih mudah dan yakin, serta kekal berhubung dengan keluarga dan masyarakat. Pada masa yang sama, pengetahuan mengenai keselamatan digital dapat membantu warga emas menggunakan teknologi secara lebih selamat dan mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan dalam talian. Usaha ini juga menyokong aspirasi untuk memastikan warga emas terus celik teknologi, berdikari dan mendapat manfaat daripada perkembangan AI dalam kehidupan seharian.
 
 
   
 

Disediakan oleh:

En. Mohamad Fazdillah Bagat

Ketua Unit ACE

 
 
 
 
 
 
 

Date of Input: 20/08/2026 | Updated: 20/08/2026 | ainulmardiyyah

MEDIA SHARING

MALAYSIAN RESEARCH INSTITUTE ON AGEING (MyAgeing®)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
X, (08:39:27pm-08:44:27pm, 08 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]