HOME | MALAYSIAN RESEARCH INSTITUTE ON AGEING (MyAgeing)
article
Usia 60 tahun masih kuat bekerja
KUALA LUMPUR: Menjelang usia persaraan, ada yang gembira kerana dapat berehat selepas berpuluh tahun bekerja, tetapi tidak kurang yang mula dilanda keresahan gara-gara tiada simpanan mencukupi. Bagi golongan profesional, isu ini mungkin tidak timbul berbanding pekerja biasa terutama mereka yang masih memerlukan pendapatan untuk menyara keluarga. Biarpun berusia 60 tahun, ramai yang masih sihat dan ingin mencari pekerjaan sesuai, tetapi jarang ada majikan mahu mengambil golongan warga emas bekerja. Ini menyebabkan ramai warga emas kehilangan pendapatan dan terpaksa bergantung kepada anak atau keluarga untuk meneruskan hidup. Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) dan Presiden Persatuan Gerontologi Malaysia (GeM), Prof Datuk Dr Tengku Aizan Hamid, berkata undang-undang warga tua perlu dikaji semula termasuk menimbangkan mengambil golongan pesara ke dalam industri pekerjaan. “Sebenarnya, bersara dalam usia 60 tahun boleh dikatakan masih muda kerana kebanyakannya masih sihat, malah mengikut standard antarabangsa, seseorang itu boleh dianggap warga emas hanya apabila mencecah 65 tahun. “Faktor penjagaan kesihatan yang semakin berkualiti pada hari ini juga menyebabkan tahap kesihatan semakin baik. “Golongan ini boleh menyumbangkan tenaga sama ada dalam bidang profesional atau sebaliknya,” katanya pada Persidangan Selatan-Selatan berkaitan Demografi dan Populasi Penuaan, di sini, baru-baru ini. Persidangan anjuran MyAgeing dengan kerjasama Pusat Kajian Kependudukan, Universiti Malaya (UM) dan Persatuan Gerontologi Malaysia dengan sokongan Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dan kerajaan. Ia bertujuan mendapatkan pandangan sekumpulan penyelidik demografi melihat status penuaan di setiap negara dan menangani isu penuaan penduduk. Dr Tengku Aizan berkata, golongan itu tidak semestinya perlu bekerja sepenuh masa, tetapi boleh memilih untuk bekerja pada waktu anjal. Katanya, kebanyakan negara Selatan adalah miskin tetapi peratus penuaan meningkat laju iaitu jumlah warga emas lebih ramai berbanding orang muda. “Malaysia adalah antara lima negara dengan jumlah warga emas yang tinggi selain Singapura, Thailand dan Vietnam,” katanya. Justeru, negara perlu bersedia khususnya daripada segi infrastruktur dan perkhidmatan untuk berdepan hakikat itu. Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran merangkap Pengerusi Pusat Kajian Kependudukan, UM, Dr Rohana Jani, berkata individu berusia 60 tahun ke atas tidak sepatutnya dihalang terus bekerja selepas bersara. “Golongan usia 60 tahun boleh dikategorikan sebagai ‘muda tua’ kerana masih peka dan boleh menyumbang tenaga dalam bidang pekerjaan yang sesuai berdasarkan kemahiran masing-masing. “Tanpa sistem sokongan untuk golongan ini termasuk membolehkan mereka terus bekerja, boleh menyebabkan daya intelek mereka lebih cepat hilang,” katanya. Katanya, tidak sepatutnya timbul diskriminasi oleh mana-mana pihak khususnya majikan untuk mengambil golongan ini mengisi sebarang kekosongan jawatan. Sekurang-kurangnya warga emas tidak hilang punca pendapatan dan mampu berdikari tanpa terlalu bergantung kepada anak-anak, keluarga atau pihak kerajaan. Apa yang berlaku sekarang, katanya, sebahagian besar golongan warga emas terpaksa bergantung kepada pelbagai pihak sebaik melangkah ke alam persaraan berikutan tiada punca pendapatan.
DPM: Malaysia to introduce welfare act for elderly
Dr M: Malaysia should take its cue from developed nations on caring for senior citizens
More Articles...
news
Pertukaran Dokumen untuk kerjasama perundingan antara RTI, MyAgeing and UPMCS.
Pertukaran Dokumen untuk kerjasama perundingan antara RTI, MyAgeing and UPMCS.
announcement
No quotation.


FURTHER INFORMATION: http://etender.upm.edu.my

No job vacancy.


FURTHER INFORMATION: http://spj.upm.edu.my

activities
follow us
C1555977727