Kolaborasi HSAAS dan MyAgeing™ Ke Arah Memperkukuhkan Penyelidikan Penuaan Di Malaysia
SERDANG, 29 Ogos - Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing™) telah menerima kehadiran kunjungan dari pihak Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), yang dahulunya dikenali sebagai Hospital Pengajar UPM. Ditubuhkan pada tahun 2019, HSAAS berkeluasan 38.4 hektar dengan kapasiti 400 katil, 17 wad dan mempunyai pelbagai kemudahan awam seperti 2000 tempat letak kereta, beberapa bilik menunggu, ruangan keagamaan, kawasan riadah pesakit, bilik rawatan tahanan, sembilan kedai runcit, kafeteria dan taman permainan untuk kemudahan pesakit.
Kunjungan daripada HSAAS ini telah diketuai oleh Pengarah HSAAS iaitu Y.Bhg. Prof. Dr. Hamidon Basri bersama beberapa warga kerja HSAAS. Ketibaan pihak HSAAS ini telah disambut oleh barisan pihak pengurusan dan pegawai MyAgeing™. Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk berbincang berkaitan kolaborasi yang boleh dilaksanakan antara HSAAS dan MyAgeing™ terutama dalam aspek perkhidmatan kesihatan, penyelidikan serta program/aktiviti berkaitan warga emas. HSAAS mempunyai Unit Perubatan Geriatrik yang mengfokuskan kepada perawatan akut dan sub-akut geriatrik, rehabilitasi geriatrik dan ortho-geriatrik. Klinik Geriatrik pula menawarkan penilaian komprehensif dan perawatan untuk warga emas yang mengalami masalah seperti demensia (kemerosotan fungsi kognitif), kejatuhan, poly-pharmacy, kerapuhan tulang (osteoporosis) dan multi-morbidities.Pada akhir kunjungan, rombongan pihak HSAAS turut diberikan peluang untuk melawat kompleks MyAgeing™ dan melihat sendiri kemudahan serta fasiliti yang disediakan di sini termasuk makmal alami, makmal rehabilitasi, makmal kefungsian fizikal, makmal penyediaan makanan serta pusat jagaan harian warga emas.
Laporan disediakan oleh:
Mohd Rizal Hussain |
Tarikh Input: 05/09/2023 | Kemaskini: 05/09/2023 | norhanika
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA