Benarkan Penjaga Warga Emas Bekerja Dari Rumah | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing™)
» ARTIKEL » Benarkan penjaga warga emas bekerja dari rumah

Benarkan penjaga warga emas bekerja dari rumah

Semua perkhidmatan kerajaan mula beroperasi sepenuhnya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa 10 Jun lalu.

Selaras arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kehadiran pekerja ke pejabat diwajibkan secara berperingkat dengan mengimbangi keperluan itu dan kemudahan bekerja dari rumah atau WFH.

Ironinya, kelonggaran ini tidak dipanjangkan kepada pekerja yang menjaga warga emas yang mengidap penyakit kronik dalam tempoh PKPP ini.

Berdasarkan pemerhatian, hampir semua institusi kerajaan atau mungkin tiada satu pun institusi, menyenaraikan secara jelas penjagaan warga emas sebagai antara kriteria tanggungan atau kes yang perlu diberi pertimbangan majikan untuk kebenaran WFH atau tidak sepenuhnya hadir bekerja sepanjang minggu.

Kebanyakan alasan diberikan majikan ialah penjagaan warga emas tidak disenaraikan dalam pekeliling JPA. Dalam Arahan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Bilangan 2 Tahun 2020, empat kategori disenaraikan untuk pertimbangan WFH dan tidak disenarai penjagaan warga emas dalam kalangan pekerja.

Berdasarkan kenyataan media dan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), warga emas adalah kumpulan berisiko tinggi untuk terdedah jangkitan COVID-19, terutama yang mengidap penyakit kronik. Malangnya statistik kematian warga emas tinggi akibat COVID-19 dan kebimbangan sering disuarakan, tidak diterjemah sebaiknya oleh kebanyakan majikan dan JPA amnya melalui arahan bekerja dalam tempoh masa ini.

Menerusi beberapa kenyataan Ketua Pengarah KKM, beliau menyeru mereka yang menjaga warga emas berperanan penting memastikan kelompok itu tidak terdedah jangkitan COVID-19. Namun, pekerja yang menjaga warga emas yang keluar setiap hari untuk bekerja boleh meningkatkan risiko jangkitan.

Saranan KKM seharusnya menjadi panduan majikan dalam mengimbangi tuntutan bekerja dan menjaga kesihatan pekerja serta keluarga mereka secara menyeluruh.

Oleh itu, menjadi kewajaran majikan memberikan kelonggaran WFH kepada pekerja yang menjaga warga emas secara bergilir. Perlu dipertimbang bahawa masyarakat kita kebanyakannya masih memilih untuk menjaga warga emas secara tidak formal.

Hal ini turut dipengaruhi akses kepada perkhidmatan penjagaan, aspek keselamatan dan kualiti pusat jagaan, di samping memelihara nilai kekeluargaan dan tanggungjawab terhadap keluarga.

Ahli keluarga yang menjaga warga emas berhadapan tuntutan pelbagai peranan dan tanggungjawab dalam rumah tangga, di tempat kerja dan komuniti. Akses terhadap perkhidmatan penjagaan warga emas yang menghidap penyakit kronik dan kurang upaya di luar sistem perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan masih terhad serta membabitkan kos tinggi, terutama sektor swasta.

Penjagaan warga emas yang uzur dan kurang upaya, bersifat intensif dan tidak boleh dijangka. Tanpa sokongan kerajaan mahupun majikan, penjaga warga emas yang bekerja sepenuh masa mungkin terpaksa bergantung harap kepada ahli keluarga lain ataupun ihsan jiran tetangga.

Beberapa kajian kualitatif oleh pengkaji tempatan menyingkap situasi di mana warga emas terpaksa ditinggalkan sendirian di rumah ketika anak keluar bekerja. Dalam situasi wabak masih dalam komuniti, anak yang pulang ketika waktu rehat untuk menjenguk keadaan warga emas ditinggalkan di rumah perlu melaksanakan proses sanitasi setiap kali ingin memberi makan atau menukar lampin warga emas.

Konflik tuntutan kerja dan penjagaan mempengaruhi kualiti hidup warga emas apabila terlewat diberi makan atau ubat-ubatan, lambat ditukar lampin atau dibawa ke tandas. Bebanan peranan ini memberi kesan besar kepada penjaga dari segi tahap kesihatan fizikal dan mental serta menjejaskan produktiviti bekerja.

Justeru, dalam menuju negara tua menjelang 2030, tanggungjawab menjaga warga emas dalam kalangan pekerja seharusnya dijadikan perkara atau aspek dipertimbangkan dalam menjaga kebajikan pekerja, sama seperti tanggungjawab kepada anak di bawah tanggungan pekerja.

Kelonggaran WFH melalui sistem penggiliran dapat dimanfaatkan penjaga dan mengurangkan risiko warga emas daripada terdedah jangkitan.

Tarikh Input: 17/06/2020 | Kemaskini: 08/07/2020 | lizamdnor

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing™)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
B1603202213