Bengkel Selamat dan Berdikari di Rumah Perkukuh Keselamatan dan Kemahiran Kehidupan Harian
SERDANG, 27 Ogos 2026 – Jabatan Perubatan Rehabilitasi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan kerjasama Jawatankuasa Latihan dan Sumber Pembelajaran (TERA), Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), UPM, telah menganjurkan Bengkel “Selamat dan Berdikari di Rumah: Memperkasa Kemahiran Kehidupan Harian†bertempat di Bilik Latihan MyAgeing®, UPM. Bengkel yang dikendalikan oleh Dr. Siti Noraini binti Asmuri, Pensyarah Kanan, FPSK, UPM, telah disertai seramai 17 peserta yang terdiri daripada golongan profesional, wakil pusat jagaan warga emas dan orang awam.
Bengkel ini memberi penekanan kepada kepentingan keselamatan, keupayaan berdikari dan pengurusan aktiviti kehidupan harian, khususnya dalam persekitaran rumah. Peserta didedahkan kepada pengetahuan serta strategi praktikal untuk melaksanakan aktiviti harian dengan lebih selamat, mengurangkan risiko kemalangan dan kecederaan di rumah, serta meningkatkan keyakinan dalam mengurus keperluan diri dan keluarga.
Selain perkongsian teori, pendekatan praktikal yang diterapkan dalam bengkel membolehkan peserta memahami cara menyesuaikan aktiviti dan persekitaran rumah mengikut keperluan individu. Pengetahuan ini amat berguna bukan sahaja kepada individu yang ingin mengekalkan tahap kebergantungan yang rendah, malah kepada penjaga dan keluarga dalam menyokong kehidupan harian yang lebih selamat dan berkualiti.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen UPM melalui MyAgeing® dalam menterjemahkan kepakaran akademik dan penyelidikan kepada manfaat yang boleh diaplikasikan secara langsung oleh masyarakat, khususnya dalam menyokong aspek keselamatan, kefungsian dan penuaan sihat. Program seumpama ini turut menyumbang kepada usaha membina persekitaran yang lebih mesra, selamat dan menyokong golongan berusia agar dapat terus menjalani kehidupan harian secara aktif, yakin dan berdikari.