Bersediakah Kita Negara Menua? | MALAYSIAN RESEARCH INSTITUTE ON AGEING (MyAgeingâ„¢)
» ARTICLE » Bersediakah Kita Negara Menua?

Bersediakah Kita Negara Menua?

HULU SELANGOR, 6 Okt (Bernama) -- Jarum jam sudah pun mencecah pukul 11.30 pagi, namun masih belum ada lagi tanda yang menunjukkan nombor giliran wanita warga emas ini akan dipanggil berjumpa doktor bagi rawatan susulan penyakit kencing manis yang dihidapinya sejak lebih 10 tahun lepas.

Keadaan ini membuatkan Aminah Harun (bukan nama sebenar), 63, semakin resah setelah menunggu hampir empat jam di sebuah klinik kesihatan di daerah ini, bersama puluhan warga emas lain, membuatkannya tidak berasa selesa apatah lagi terpaksa menanti dalam khemah di luar klinik tersebut.

Klinik yang terletak dalam sebuah bangunan kedai tidak berapa luas ruangnya untuk menampung pesakit yang semakin bertambah sejak klinik kesihatan di Ulu Yam ditutup bagi kerja pembaikan mulai Februari lepas, menyebabkan klinik berkenaan menjadi tumpuan pesakit darah tinggi dan kencing manis.

“Ruang menunggu dalam ada pendingin hawa tapi dah penuh, kenalah duduk dalam khemah tapi panas sebab dah nak tengah hari. Ada kipas tapi satu sahaja mana cukup sebab ramai pesakit yang menunggu.

“Mak cik memang datang awal tetapi kena juga tunggu lama sehingga ada rasa nak pening kepala dan kadang-kadang hilang sabar,” kata ibu kepada dua orang ini kepada Bernama, berkongsi pengalamannya mendapatkan rawatan di klinik kerajaan itu.

Mengakui agak sukar apatah lagi klinik tersebut agak jauh daripada rumahnya di Taman Genting Permai,  kira-kira enam kilometer berbanding sebelum ini empat kilometer, menurut Aminah, masalah itu membuatkan ada warga emas di sekitar perumahan tersebut tidak mahu meneruskan rawatan.

Ini memandangkan perjalanan ke klinik kesihatan itu memerlukan mereka menempuh jalan raya yang sibuk dengan kenderaaan berat yang dipandu laju, yang sudah tentu  membahayakan keselamatan warga emas.

“Suami kakak mak cik pun tidak berani menunggang motosikal ke klinik sini sebab kenderaan banyak. Nak naik bas, orang tua mana larat nak tunggu sebab ada ketikanya sampai satu hingga dua jam baru bas datang.

“Sebab itu, kebanyakannya pergi sendiri sahaja dan macam makcik ni anak yang hantar. Mak cik harap sangat klinik di Ulu Yam cepat siap sebabnya kalau lama sangat macam sekarang, mak cik pun rasa letih dan takut hilang semangat jumpa doktor,” katanya yang mengeluh dengan situasi tersebut.

 

DAERAH MENUA

Suasana yang tidak selesa ini bukan hanya berlaku di klinik tersebut sahaja kerana berdasarkan tinjauan penulis di sebuah klinik kerajaan di bandar utama di Hulu Selangor, isu kesesakan warga emas, menunggu lama

Selain tiada kemudahan laluan khas untuk golongan berkenaan di kawasan tumpuan ramai seperti stesen bas, kurangnya pemegang khas di tandas serta pertikaian akan kebolehcapaian dan kemampuan mereka untuk mendapatkan perkhidmatan sewajarnya.

Permasalahan ini turut diakui bekas Ketua Kampung Gesir, Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP), Abd Razak Baki, 69, yang menyatakan, kemudahan atau infrastruktur di bawah kawasan Dewan

untuk mendapatkan rawatan, ruang sempit dan terletak dalam bangunan kedai, turut juga berlaku.

Keadaan ini menyebabkan hanya tiga baris kerusi panjang diperbuat daripada kayu  dapat ditempatkan untuk kemudahan pesakit, selain sebuah khemah yang dipasang di hadapan klinik bagi menampung jumlah pesakit yang ramai.

Untuk mengetahui sendiri ketidakselesaan itu, penulis duduk sebentar di bawah khemah  dalam keadaan cuaca yang panas dan sememangnya berasa rimas, dan keadaan itulah yang terpaksa ditanggung warga emas yang duduk mungkin dalam jangka masa agak lama.

Hakikatnya, bukan hanya isu kemudahan dan keselesaan warga emas sahaja dalam mendapatkan rawatan kesihatan menjadi polemik tetapi juga perihal mobiliti atau pengangkutan awam serta pelbagai lagi fasiliti di daerah ini masih lagi jauh untuk mencapai status ‘mesra warga emas’.

Selain tiada kemudahan laluan khas untuk golongan berkenaan di kawasan tumpuan ramai seperti stesen bas, kurangnya pemegang khas di tandas serta pertikaian akan kebolehcapaian dan kemampuan mereka untuk mendapatkan perkhidmatan sewajarnya.

Permasalahan ini turut diakui bekas Ketua Kampung Gesir, Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP), Abd Razak Baki, 69, yang menyatakan, kemudahan atau infrastruktur di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Benam untuk warga emas agak kurang malah sukar untuk dilihat.

“Di daerah Hulu Selangor ada tiga DUN dan Kampung Gesir berada di bawah DUN Hulu Bernam, kemudian DUN Kuala Kubu Bharu dan DUN Batang Kali. Secara rambangnya, memang sini ramai warga emas tetapi kemudahan yang mesra warga emas agak kurang.

“Sini kalau tidak ada kenderaan sendiri memang susahlah warga emas sebab ada anak bekerja luar. Sebab itu kami juga harapkan supaya klinik dialisis diwujudkan di sini sebab ramai warga emas di DUN ini ada penyakit tersebut. Untuk mendapatkan rawatan paling dekat pun di Kuala Kubu Bharu, Tanjung Malim,” katanya.

Ada kewajarannya isu fasiliti, sistem pengangkutan, penawaran kesihatan yang mesra warga emas diberikan tumpuan di daerah ini memandangkan Hulu Selangor kini dikenal pasti sebagai antara lapan daerah menua kerana mempunyai lebih tujuh peratus penduduk berumur 65 tahun dan lebih pada tahun ini (2023).

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi laporan Anggaran Penduduk Semasa, Daerah Pentadbiran 2023 yang dikeluarkannya sebelum ini menyatakan, selain Hulu Selangor, daerah lain ialah Johor Bahru di Johor, Kota Bharu dan Kuala Krai di Kelantan, Seberang Perai Utara dan Barat Daya (Pulau Pinang), Kota Kinabalu (Sabah) dan Miri (Sarawak).

Laporan itu juga menyebut, Lubok Antu di Sarawak mempunyai penduduk tua tertinggi dengan 14.4 peratus, diikuti Sri Aman (12.8 peratus) dan Song (11.9 peratus), juga terletak di Sarawak. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan tiga kategori penuaan iaitu masyarakat menua, komuniti berusia dan masyarakat paling tua, masing-masing merujuk kepada penduduk berumur 65 tahun dan lebih mencecah tujuh peratus, 14 peratus dan 20 peratus.

 

HULU SELANGOR

Terletak di utara negeri Selangor, Hulu Selangor yang bersempadan dengan daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor di barat dan Gombak di Selatan mempunyai seramai 243,029 penduduk berdasarkan pada data bancian Malaysia 2020.

Dengan kepadatan penduduknya 139 orang perkilometer persegi, daerah Hulu Selangor turut dikategorikan sebagai taburan yang padat dan kerana itu Bekas Ketua Kampng Kalong Tengah, (JKKP) DUN Batang Kali, Bahari Baharom melihat ada keperluan untuk pusat aktiviti bagi warga emas diwujudkan.

“Bagi DUN Batang Kali, memang langsung tidak ada pusat aktiviti untuk warga emas dan kami melihat akan kepentingannya untuk mengamalkan kehidupan yang sihat sebab doktor pun sentiasa mengingatkan untuk sentiasa melakukan aktiviti senaman dan riadah.

“Kami lihat dengan adanya pusat aktiviti ini yang diisikan dengan program ceramah kesihatan dapat mendedahkan penduduk sini kehidupan sihat selain mengelakkan mereka daripada bosan atau murung sebab anak-anak keluar bekerja,” katanya.

Bagi pesara guru, Mohd Noor Osman, 64, yang menetap di Batang Kali, beliau mengharapkan sebuah hospital berdekatan dapat disediakan bagi kemudahan penduduk setempat memandangkan ketika ini yang paling hampir adalah Hospital Kuala Kubu Bharu.

“Hospital ini sudah lama dan kurang pakar. Alangkah indah dan bersyukurnya jika kerajaan dapat membina sebuah hospital setaraf hospital Selayang di sini," kata bapa kepada empat cahaya mata ini yang sudah 12 tahun menghidap penyakit buah pinggang. Beliau ke Hospital Selayang, setiap tiga bulan untuk mendapatkan rawatan.

Biarpun begitu, Mohd Noor yang berasal dari Kuala Kurau, Perak ini, lebih sanggup untuk mengeluarkan wang ringgit bagi mendapatkan rawatan di klink swasta berdekatan jika berasa kurang sihat kerana tidak sanggup untuk menunggu terlalu lama di klinik kesihatan kerajaan di kawasan berkenaan.

“Saya lihat akan keperluan pihak berwajib untuk menggiatkan usaha turun padang mendekati warga emas kerana tidak semua mengetahui faedah dan skim yang ditawarkan kerajaan, yang boleh mereka dinikmati.

“Skim bantuan ini memang banyak untuk golongan B40 dan warga emas, malangnya mereka tidak tahu saluran untuk memperoleh bantuan terbabit. Kalau boleh, pegawai, ahli parlimen, DUN bergerak aktif menyantuni warga emas dan ada sesi kaunter penerangan mengenai faedah berkenaan kepada warga emas,” katanya.

 

BELUM BERSEDIA

Mengajukan polemik ini kepada Ketua Laboratori Gerontologi Sosial, Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing),  Dr Mohammad Mujaheed Hassan, beliau berkata, Malaysia sebenarnya masih lagi belum bersedia untuk menghadapi negara menua.

Beliau menyifatkan Malaysia masih jauh lagi ketinggalan khususnya dari segi menyediakan kemudahan prasarana yang sepatutnya dapat memenuhi kehendak rakyat pelbagai peringkat umur termasuk warga emas.

“Untuk menghadapi tempoh ini (negara menua), pelbagai langkah perlu disusun dengan menitikberatkan pembangunan ke arah kebajikan warga emas. Antaranya, meningkatkan pelaburan dalam pembangunan infrastruktur penjagaan kesihatan warga emas.

"Ia termasuk membina hospital, klinik dan kemudahan penjagaan kesihatan baharu yang dilengkapi penjagaan khusus untuk orang dewasa yang lebih tua. Infrastruktur seharusnya tidak hanya tertumpu di kawasan bandar tetapi juga meluas ke kawasan luar bandar untuk memastikan akses yang saksama kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk semua tanpa mengira lokasi geografi," katanya.

Beliau turut melihat kepentingan pelaburan perlu diberi perhatian jitu dalam meningkatkan kemudahan penjagaan kesihatan sedia ada serta infrastruktur lain bagi menjamin kesejahteraan kehidupan warga emas yang berkualiti.

Menurut beliau, isu negara menua perlu diberi keutamaan segera memandangkan Malaysia berhadapan kadar peningkatan warga emas yang pantas berbanding 30 tahun lepas malah DOSM menjangkakan Malaysia beralih kepada status negara tua lebih awal berbanding unjuran dibuat sebelum ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin sebelum ini dipetik berkata, penduduk negara pada tahun 2020 dianggarkan berjumlah 32.6 juta orang yang mana disumbangkan oleh pertambahan semula jadi iaitu perbezaan antara bilangan kelahiran dan kematian yang berlaku setiap tahun.

“Berdasarkan Kadar Kelahiran Kasar (CBR) dan Kadar Kematian Kasar (CDR) negara ini, secara purata 14.4 orang dilahirkan dan 5.1 orang yang mati bagi setiap seribu penduduk pada tahun 2020 dengan nisbah 2.8 kelahiran bagi setiap satu kematian.

“Jika dilihat pada 10 tahun lepas, bagi setiap seribu orang penduduk, secara purata 17.2 orang dilahirkan dan 4.6 orang yang mati dengan nisbah yang dicatatkan 3.7 kelahiran bagi setiap satu kematian.

“Penurunan nisbah ini memberi impak kepada struktur penduduk Malaysia. Ini akan menyebabkan Malaysia akan beralih kepada status negara menua lebih awal berbanding unjuran yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Mahu atau tidak, cabaran dalam memberi kesejahteraan warga emas perlu diberi tumpuan utama dan ia bukan sahaja tanggungjawab kerajaan, malah perlu juga digalas semua pihak, memandangkan masa yang ada sangat kritikal dalam memastikan mereka dapat menikmati kehidupan berkualiti.


Penulis : Balkish Awang
Disunting oleh Melati Mohd Ariff

Artikel ini telah diterbitkan oleh Bernama



Gs. Ts. Dr. Mohammad Mujaheed Hassan, Ketua Laboratori Gerontologi Sosial, Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing™)

Date of Input: 06/10/2023 | Updated: 06/10/2023 | n_asyikin

MEDIA SHARING

MALAYSIAN RESEARCH INSTITUTE ON AGEING (MyAgeingâ„¢)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
SXFYRAZ~