Kekal Aktif, Produktif Jika Bekerja | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
» ARTIKEL » Kekal aktif, produktif jika bekerja

Kekal aktif, produktif jika bekerja

SHAH ALAM - Warga emas masih boleh menyumbang dengan bekerja dan seterusnya akan menyebabkan mereka sentiasa kekal aktif serta produktif.

Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Siti Anom Ahmad berkata, berbanding warga emas tidak bekerja dan melakukan apa-apa aktiviti, ia akan memberi kesan kepada kesihatan diri mereka.

“Kita dapati kalau warga emas ini tidak bekerja, duduk di rumah, tiada aktiviti aktif dan produktif, ia boleh menyebabkan kesihatan mental (pada mereka) seperti sunyi dan kemurungan.

“Ada banyak kes yang kita jumpa daripada kajian, apabila dia tidak berbuat apa-apa, proses (mereka) mendapat penyakit itu lagi cepat atau senang mendapat demensia,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, Siti Anom berkata, walaupun warga emas ini mempunyai penyakit, ia juga tidak menghalang mereka terus menyumbang.

“Daripada keperluan hidup warga emas, mungkin ada sesetengah mereka memerlukan pendapatan,” katanya.

Jelasnya, faktor kewangan turut dilihat menyumbang kepada kualiti hidup yang baik terhadap warga emas.

“Tidak semestinya dia (perlu) bekerja di sektor pekerjaan formal. Kadangkala ada juga kita jumpa warga emas yang bekerja sebagai pemandu Grab.

"Apabila kita tanya kenapa bekerja, dia kata lagi suka dapat berjumpa orang. Itu semua menyumbang kepada kualiti hidup yang lebih baik kepada warga emas,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penyelidik Khazanah Research Institute (KRI), Hawati Abdul Hamid pula berpandangan terdapat tiga faktor yang menyebabkan masih ramai warga emas bekerja walaupun usia sudah lanjut.

Katanya, faktor pertama ialah mereka bekerja kerana ingin terus kekal aktif dan menyumbang kepada masyarakat.

Jelasnya, ini dibuktikan dengan kajian dilakukan Social Wellbeing Research Centre (SRWC) yang mendapati 81.1 peratus mereka yang berusia 60 hingga 69 tahun, 69.1 peratus berusia 70 hingga 79 tahun dan 50.3 peratus berumur 80 tahun ke atas ingin terus bekerja selagi mampu.

Faktor kedua katanya, warga emas bekerja kerana desakan hidup dan kekangan kewangan.

“Menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hanya empat peratus daripada pencarum KWSP mampu bersara dengan sekurang-kurangnya RM600,000 dalam simpanan.

“Jika kita lihat pencarum yang berusia 54 tahun, hanya separuh mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000, cukup untuk empat tahun jika mereka berbelanja sebanyak RM1,000 sebulan. Ini baru mengambil kira jumlah simpanan persaraan pencarum KWSP,” katanya.

Menurutnya, faktor ketiga ialah pekerjaan yang tidak berbayar seperti membantu perusahaan keluarga.

Telah diterbitkan di Sinar Harian pada 1 Oktober 2022

Prof. Ir. Dr. Siti Anom Ahmad
Email: sanom@upm.edu.my

Tarikh Input: 10/10/2022 | Kemaskini: 23/05/2023 | lizamdnor

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
SXETMAr~