Menangani Cirit-Birit Semasa Perayaan | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing)
» ARTIKEL » Menangani Cirit-Birit Semasa Perayaan

Menangani Cirit-Birit Semasa Perayaan

Umat Islam pada tika ini berada di ambang kemeriahan Aidilfitri. Kejayaan melalui ujian Ramadhan yang mulia diraikan melalui kemeriahan syawal. Aidilfitri kita di Malaysia disambut melalui keindahan ikatan silaturahim dalam keluarga serta persahabatan jiran dan kenalan. Tidak dapat tidak, Aidilfitri disambut dengan pelbagai hidangan istimewa di samping kuih muih untuk dihidangkan kepada para tamu yang singgah bertandang. Kemeriahan aidilfitri juga berpanjangan melalui tradisi bertukar-tukar juadah.

Terdapat pelbagai variasi juadah istimewa pada hari raya, namun dari segi persediaan, hampir kesemua juadah berkenaan disediakan sebelum hari raya atau pada pagi hari raya serta disediakan dengan jumlah yang kuantitinya lebih banyak dari biasa. Berdasarkan keperluan teknikal, juadah yang disediakan lebih awal atau disediakan dalam jumlah yang banyak perlu disimpan dan  diletakkan dalam bekas dengan suhu persekitaran yang sesuai untuk mengelakkan juadah dicemari, rosak dan tidak lagi selamat untuk dimakan.

Cirit-birit semasa musim perayaan seperti pada musim Aidilfitri ini merupakan antara masalah kesihatan yang kerap berlaku. Ia merupakan keadaan yang mana individu mengalami kerap (lebih tiga kali) buang air besar yang mana kandungan najis adalah cair, bercampur mukus dan kadang-kadang turut mengandungi darah. Antara gejala yang turut dialami ialah sakit dan tidak selesa pada perut, loya atau muntah dan demam. Keadaan cirit-birit yang teruk boleh menyebabkan dehidrasi serius sehingga boleh mengancam nyawa jika ianya tidak ditangani dengan sempurna. Ini boleh berlaku terutama pada golongan bayi, kanak-kanak atau warga emas.

Antara faktor berlakunya cirit-birit ialah faktor makanan yang dicemari kuman atau toksin yang dikeluarkan oleh kuman itu sendiri. Ini besar  kemungkinan berlaku disebabkan kaedah penyimpanan yang tidak higenik atau terdedah tanpa ditutup dalam bekas yang sempurna. Makanan yang terdedah mungkin mengundang lalat atau lipas yang mendorong berlakunya pencemaran. Juadah yang mengandungi ayam terutamanya mudah menarik lalat sehingga menyebabkan ia bertelur pada makanan tersebut. Pencemaran telur lalat pada makanan boleh juga menyebabkan cirit birit yang teruk.

Disebabkan  sebahagian makanan itu disediakan awal sehari sebelum sambutan hari raya, sekiranya ia tidak melalui proses pemanasan semula yang sempurna atau langsung tidak dipanaskan, ini turut menyebabkan sebahagian kandungan makanan tersebut menjadi rosak dan tidak lagi selamat dimakan. Makanan yang telah basi mengandungi toksin yang boleh menyebabkan cirit-birit seterusnya boleh menyebabkan berlakunya keracunan makanan.  Selain itu, tradisi bertukar-tukar juadah jika tidak dilakukan dengan dalam julat waktu hayat makanan atau tidak disimpan dengan baik, turut berpotensi mencemarkan makanan.

Musim Aidilfitri juga merupakan musim di mana ramai individu masyarakat keluar berziarah dan ini melibatkan perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain. Tradisi ini tidak terhad pada pasangan suami isteri tetapi melibatkan hampir kesemua ahli keluarga. Pada musim cuti yang panjang, tidak banyak gerai makanan yang dibuka seperti biasa. Ketiadaan tempat menjual makanan di musim cuti panjang ini menyebabkan gerai-gerai yang beroperasi penuh sesak dengan orang ramai. Keadaan ini turut mendorong kemungkinan berlakunya pencemaran makanan yang disediakan akibat tekanan menyediakan makanan untuk sejumlah pelanggan yang lebih ramai dari biasa.

Cirit-birit semasa perayaan juga berlaku akibat  keadaan fisiologi gastro-usus yang sekian sebulan berpuasa, terdedah dengan kuantiti dan kepelbagaian lebih banyak dari biasa yang menyebabkan seseorang itu menghadapi masalah penghadaman. Situasi ini kerap ditandai oleh gejala kembung perut, rasa sebu dan tidak selesa pada bahagian abdomen. Sebahagian dari mereka ini mungkin juga menghadapi masalah cirit-birit akibat tidak tahan dengan tahap kepedasan sesuatu makanan.

Bagi yang mengalami masalah cirit birit ini di musim perayaan ini, disebabkan klinik-klinik turut bercuti maka langkah rawatan yang perlu  diambil ialah memastikan individu berkenaan hanya mengambil makanan yang separa pejal (soft diet), tidak pedas, tidak berminyak dan mengambil sejumlah air untuk menggantikan kuantiti air yang hilang melalui cirit-birit.  Kajian saintifik menunjukkan selain minuman isotonik yang berupaya menggantikan garam galian tubuh yang hilang itu, minuman air kelapa tanpa gula dan ais sangat baik untuk memulihkan keadaan cirit birit. Minuman probiotik juga terbukti membantu memulihkan keadaan fisiologi usus. Langkah-langkah berkenaan perlu diikuti sehingga individu tersebut pulih sepenuhnya.

Bagi mengelakkan berlakunya cirit-birit di musim perayaan ini, setiap individu masyarakat perlulah mengambil berat higen diri dan juga proses penyediaan dan hidangan makanan. Jika bermusafir, bawalah bekal makanan dan elakkan gerai yang tidak higenik. Kegembiraan menyambut hari raya perlulah disyukuri melalui usaha bersungguh-sungguh memastikan juadah yang dihidang dan dinikmati masih berada dalam keadaan yang baik, enak dan selamat dimakan.

Tanggungjawab ini perlu digalas oleh setiap kita, bukan terhad oleh mereka yang bertanggungjawab memasak di dapur. Jangan pula ada yang balik beraya sekadar seperti tetamu yang hanya tahu menikmati makanan serta tidak kisah untuk membantu atok dan nenek menyediakan juadah atau membasuh pinggan. Bagi mereka yang menghadapi masalah perut (gastro-usus) agak sensitif iaitu tidak tahan pedas, ambillah juadah menurut hemah dan kebijaksanaan. Sudah pasti kegembiraan Aidilfitri terjejas andai berlaku cirit-birit. Pilihlah langkah bijak.  Salam Aidilfitri buat semua, maaf zahir dan batin.

 

Oleh Prof Madya Dr Malina Osman

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/ Biostatistik)

Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan,

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM

Email: malinaosman@upm.edu.my

HP: 013-6298572

Tarikh Input: 29/06/2018 | Kemaskini: 29/06/2018 | m_akmalsa

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
B1566207374