LAWATAN PENANDA ARAS EKSA MyAgeing® KE PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD, UPM | MALAYSIAN RESEARCH INSTITUTE ON AGEING (MyAgeing®)
» NEWS » LAWATAN PENANDA ARAS EKSA MyAgeing® KE PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD, UPM

LAWATAN PENANDA ARAS EKSA MyAgeing® KE PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD, UPM

Serdang, 16 April – Seramai 15 orang staf Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), UPM telah menyertai satu lawatan penanda aras ke Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), UPM sebagai sebahagian daripada inisiatif pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) tahun 2025.

Lawatan ini memberi tumpuan kepada perkongsian amalan terbaik berkaitan pengurusan persekitaran tempat kerja yang sistematik, berdaya saing dan lestari, sejajar dengan prinsip utama EKSA yang berteraskan nilai-nilai asas 5S (Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal). Walaupun sering dilihat hanya melibatkan kebersihan dan kekemasan fizikal, hakikatnya EKSA merangkumi falsafah yang lebih luas dalam membentuk budaya kerja cemerlang.

Menurut Penyelaras EKSA MyAgeing®, Pn. Nurul Asyikin Mohd Taib, “Sebenarnya EKSA adalah penjenamaan semula 5S yang ditambah baik untuk sektor awam – jadi prinsip-prinsip 5S tersebut memang masih jadi tunjang. Kami percaya persekitaran kondusif bukan sekadar cantik, tapi ia menjadi asas kepada sistem kerja yang lebih cekap, berdisiplin dan menyokong aspek pengurusan dokumen, data dan sumber organisasi.”

Tambah beliau lagi, walaupun fokus lawatan adalah kepada pelaksanaan EKSA, pihak MyAgeing® turut mengambil maklum saranan pengurusan untuk meninjau aspek-aspek tambahan lain seperti pengurusan maklumat, dokumentasi digital dan rujukan sumber ilmu yang boleh membantu memperkukuh pengurusan dalaman institut secara keseluruhan.

Lawatan ini turut memberi ruang kepada staf MyAgeing® untuk melihat secara langsung inisiatif hijau, kaedah pelabelan zon, penggunaan semula bahan terbuang, pengurusan stor, rekod dan pemantauan penyelenggaraan, serta pendekatan libat sama staf dalam membudayakan EKSA di tempat kerja.

MyAgeing® komited untuk memperkasakan EKSA bukan sekadar sebagai syarat penarafan, tetapi sebagai satu budaya kerja positif yang menyumbang kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Date of Input: 17/04/2025 | Updated: 17/04/2025 | n_asyikin

MEDIA SHARING

MALAYSIAN RESEARCH INSTITUTE ON AGEING (MyAgeing®)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
W, (11:54:08pm-11:59:08pm, 18 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]