Serdang, 13 Julai 2026 - Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dengan kerjasama Jawatankuasa Latihan dan Sumber Pembelajaran (TERA), Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Asas Penanaman Kaedah Hidroponik yang disertai oleh 40 orang pesara.
Program ini dikendalikan oleh Encik Saiyyidina Hamzah bin Muhammad @ Mamat, Pegawai Pertanian, Pusat Pertanian Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau berkongsi pengetahuan mengenai konsep asas penanaman hidroponik, merangkumi teknik penyemaian, penggunaan larutan nutrien, penjagaan tanaman serta amalan terbaik dalam menghasilkan tanaman yang berkualiti.
Melalui sesi teori dan praktikal, peserta turut didedahkan kepada pelbagai sistem hidroponik serta kelebihannya sebagai kaedah pertanian moden yang sesuai dilaksanakan di kawasan bandar dan kawasan kediaman yang mempunyai ruang terhad. Program ini diharapkan dapat menggalakkan golongan pesara memanfaatkan masa lapang dengan aktiviti yang produktif, mengamalkan gaya hidup sihat, serta meningkatkan keselamatan makanan di peringkat isi rumah melalui penghasilan sayur-sayuran segar untuk kegunaan sendiri.
Penganjuran program ini selaras dengan komitmen Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), UPM dalam memperkasa penuaan aktif dan sihat melalui pembelajaran sepanjang hayat serta pembangunan kemahiran yang menyokong kesejahteraan warga emas. Di samping itu, program ini turut memupuk amalan pertanian bandar sebagai salah satu pendekatan untuk meningkatkan sara diri, mengurangkan kos perbelanjaan isi rumah dan menyokong agenda keselamatan makanan yang mampan.

Date of Input: 13/07/2026 |
Updated: 13/07/2026 | n_asyikin
MEDIA SHARING