MYCAREWELL 2.0: | MALAYSIAN RESEARCH INSTITUTE ON AGEING (MyAgeing®)
» NEWS » MYCAREWELL 2.0:

MYCAREWELL 2.0:

 
 
SERDANG, 9 Julai 2026 – Program MYCAREWELL 2.0: "Golden Age, Golden Mind: Memperkasakan Kesejahteraan Kognitif Warga Emas" telah berjaya dilaksanakan di Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini merupakan anjuran bersama MyAgeing®, UPM dan pelajar ePJJ Ijazah Sarjana Muda Pemulihan Carakerja, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan kognitif dalam kalangan warga emas di samping memperkenalkan aktiviti rangsangan kognitif yang mampu menyokong penuaan yang aktif, sihat dan bermakna.
 
 
   
 
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dr. Nur Hafidah Ishak, Ketua Laboratori Gerontologi Perubatan dan Geronteknologi, MyAgeing®, yang menekankan kepentingan usaha berterusan dalam mempromosikan kesejahteraan kognitif serta gaya hidup sihat dalam kalangan warga emas. Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama antara institusi akademik, penyelidik dan pengamal kesihatan memainkan peranan penting dalam memperkasa kesejahteraan warga emas melalui program berasaskan komuniti. Program diteruskan dengan ceramah bertajuk "Kesejahteraan Kognitif dalam Kalangan Warga Emas" yang disampaikan oleh Puan Zuraiida binti Shah Buddin, Jurupulih Perubatan Cara Kerja, Klinik Kesihatan Batu Berendam. Ceramah tersebut memberi pendedahan mengenai perubahan fungsi kognitif yang berlaku seiring proses penuaan, faktor-faktor yang mempengaruhi kesihatan otak, serta amalan harian yang dapat membantu mengekalkan fungsi kognitif dan kualiti hidup warga emas.
 
Selain sesi ceramah, para peserta turut menyertai Aktiviti Rangsangan Kognitif. Enam stesen interaktif telah disediakan iaitu Jejak Memori, Irama Nostalgia, Kenali Aroma, Bijak Bahasa, Celik Semasa, dan Puzzle Minda. Aktiviti-aktiviti ini direka bentuk bagi merangsang pelbagai domain kognitif seperti memori, perhatian, bahasa, orientasi, kreativiti serta interaksi sosial melalui pendekatan yang menyeronokkan, interaktif dan berpusatkan peserta. Program MYCAREWELL 2.0 berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan kognitif serta memperkenalkan pendekatan rangsangan kognitif yang praktikal dan mudah diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyokong usaha melahirkan komuniti warga emas yang lebih sihat, aktif dan berkualiti selaras dengan aspirasi penuaan sihat di Malaysia.
 
   

 

Disediakan oleh:
 
 
Najwa Najihah binti Mohd. Azmi
Jurupulih Perubatan
Laboratori Gerontologi Perubatan dan Geronteknologi
 

Date of Input: 10/07/2026 | Updated: 10/07/2026 | ainulmardiyyah

MEDIA SHARING

MALAYSIAN RESEARCH INSTITUTE ON AGEING (MyAgeing®)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
X, (07:14:11am-07:19:11am, 13 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]