Serdang, 11 Mei – Sekumpulan pelajar Sarjana Muda Fisioterapi Semester 6, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam telah menganjurkan satu program komuniti bertemakan “Warga Emas Dihargai, Komuniti Diperkasa” dengan kerjasama Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia.
Program yang berlangsung di MyAgeing®, UPM ini telah dirasmikan oleh Pengarah MyAgeing dan berjaya menghimpunkan warga emas daripada pelbagai latar belakang untuk menyertai pelbagai aktiviti interaktif dan bermanfaat. Antara pengisian menarik termasuklah senamrobik, ceramah kesihatan, saringan kesihatan, serta cabutan bertuah yang mendapat sambutan hangat.
Matlamat utama program ini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup warga emas melalui aktiviti yang menumpukan kepada kesihatan fizikal, pencegahan jatuh, serta pengukuhan sokongan sosial komuniti. Program ini turut memberi peluang kepada warga emas untuk berinteraksi dan mengamalkan gaya hidup yang lebih aktif dan bermakna.
Pihak penganjur, iaitu para pelajar Fisioterapi UiTM, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta yang hadir atas sokongan mereka, serta kepada pihak MyAgeing® atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MyAgeing® dalam memperkasa kesejahteraan warga emas serta menyokong pembangunan generasi muda dalam bidang kesihatan dan penuaan. Usaha ini juga menzahirkan usaha proaktif para pelajar dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti serta memperkukuh pengetahuan kesihatan dalam kalangan warga emas.
Date of Input: 13/05/2025 | Updated: 13/05/2025 | n_asyikin

Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA