SERDANG, 13 Januari - Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®ï¸), Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama pelajar Sarjana Muda Pemulihan Carakerja, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan Program “Move Right, Feel Right with Occupational Therapy: Postur Sihat, Hidup Sihat” bagi meningkatkan kesedaran warga emas terhadap kepentingan ergonomik, postur yang betul, dan amalan gaya hidup sihat dalam aktiviti harian.
Pengarah MyAgeing®ï¸, Profesor Madya Dr. Rahimah Ibrahim berkata, program ini selari dengan peranan MyAgeing®ï¸ sebagai institut penyelidikan dan rujukan dalam bidang penuaan, khususnya dalam memperkasa warga emas melalui pengetahuan dan kemahiran praktikal yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Menurut beliau, pendedahan kepada prinsip ergonomik, pengubahsuaian persekitaran rumah serta teknik perlindungan sendi mampu mengurangkan risiko kecederaan dan kesakitan, sekali gus meningkatkan kualiti hidup warga emas.
Sementara itu, Penasihat Program, Dr. Syamsul Anwar bin Sultan Ibrahim menegaskan bahawa pendekatan pendidikan berasaskan ergonomik dan intervensi cara kerja memainkan peranan penting dalam menyokong keupayaan fungsi serta keselamatan warga emas. Beliau turut menekankan bahawa kolaborasi antara Institusi Pengajian Tinggi memberi manfaat bukan sahaja kepada komuniti, malah memperkukuh pemindahan ilmu serta amalan berasaskan bukti dalam perkhidmatan kesihatan dan pemulihan.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan kepada sesi ceramah dan aktiviti interaktif yang menekankan prinsip asas ergonomik dan postur yang betul, di samping pengenalan kepada pengubahsuaian persekitaran rumah serta teknik perlindungan sendi. Pendekatan ini bertujuan meningkatkan keselamatan, keselesaan dan keupayaan berdikari dalam kalangan warga emas. Program ini turut merangkumi aktiviti riadah yang membolehkan peserta mengaplikasikan prinsip ergonomik dan postur badan yang betul dalam suasana santai dan praktikal.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan MyAgeing®ï¸ dalam menyokong pelaksanaan program berasaskan bukti serta kolaborasi strategik bersama institusi lain. Usaha ini diharapkan dapat memberi impak positif terhadap kesejahteraan warga emas, sekali gus memperkukuh peranan MyAgeing®ï¸ dalam mempromosikan penuaan sihat dan aktif dalam komuniti.
Date of Input: 15/01/2026 | Updated: 15/01/2026 | n_asyikin

Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA