Sarawak Jadi Wilayah Tua Pada 2028 | MALAYSIAN RESEARCH INSTITUTE ON AGEING (MyAgeingâ„¢)
» NEWS » Sarawak jadi wilayah tua pada 2028

Sarawak jadi wilayah tua pada 2028

Kuching: Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Sarawak akan menjadikan penuaan sebagai salah lagi fokus baharu dalam menangani isu sosial di negeri ini. Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, langkah itu perlu bagi memastikan Sarawak bersedia untuk menangani cabaran dihadapi masyarakat warga emas secara bersepadu dan holistik. 

Beliau berkata, hasil kajian dijalankan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (My Ageing), Sarawak dijangka mencapai status wilayah tua lebih awal berbanding jangkaan seluruh Malaysia mencapai status itu pada 2030. "Berdasarkan statistik, Sarawak akan mencapai status wilayah tua dua tahun lebih awal berbanding negeri lain seluruh negara iaitu pada 2028. "Ini kerana kajian mendapati kadar kesuburan rakyat Sarawak menurun secara drastik manakala jangka hayat pula lebih panjang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat MPS di Bangunan Baitulmakmur 2, Petra Jaya, hari ini. Beliau berkata, berdasarkan hasil kajian dijalankan, 16 peratus daripada 2.8 juta rakyat Sarawak berstatus warga emas yang berusia 60 tahun ke atas pada 2028. Justeru, katanya, kerajaan Sarawak kini berkolaborasi dengan My Ageing, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjalankan penyelidikan bagi mendapatkan input berasaskan bukti bagi pembangunan dasar dan program serta pelaksanaan intervensi bersasar. "Kita sudah menandatangani perjanjian persefahaman dengan My Ageing UPM pada 15 Mac lalu untuk menjalankan kolaborasi penyelidikan itu. "Ia perlu agar warga emas kita menua dengan sihat, aktif, produktif dan sejahtera selain membolehkan kita fokus kepada usaha untuk memastikan ekonomi, kesihatan, sosial serta persekitaran yang kondusif," katanya.

Disiarkan pada: Mac 21, 2022 @ 5:24pm

Date of Input: 22/03/2022 | Updated: 04/07/2022 | lizamdnor

MEDIA SHARING

MALAYSIAN RESEARCH INSTITUTE ON AGEING (MyAgeingâ„¢)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
SXETKA2~