
SEREMBAN, 23 April 2026 – Program refleksi bertemakan "Warisan Kehidupan : Suara dan Pesan Warga Emas” berjaya menghimpunkan warga emas dalam satu sesi bermakna yang menekankan perkongsian pengalaman hidup, nilai dan kebijaksanaan yang dikumpulkan sepanjang usia. Aktiviti rutin di Wakaf Pak Ngah Atan yang berlangsung selama dua (2) jam ini dikendalikan oleh Dr. Wan Arnidawati binti Wan Abdullah, Ketua Laboratori Gerontologi Sosial MyAgeing®, dan merupakan sebahagian daripada inisiatif MyAgeing® yang bertujuan memberi ruang kepada peserta untuk merenung perjalanan hidup, mengenal pasti makna kehidupan serta menghasilkan “Pesan Hidup” sebagai warisan berharga kepada generasi akan datang.
Selain itu, sesi ini turut memberi peluang kepada warga emas untuk mengimbau kenangan manis, mengenang peranan penting dalam kehidupan serta berkongsi pengalaman yang membentuk jati diri mereka pada hari ini. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi ice breaking melalui perkongsian kenangan, refleksi kehidupan secara terpimpin, serta aktiviti kreatif menghasilkan kad pesan hidup.
Peserta turut digalakkan menulis mesej berbentuk nasihat, puisi atau kata hikmah yang menyentuh aspek kekeluargaan, keimanan, kasih sayang dan harapan masa depan. Hasil penulisan ini kemudiannya akan dikumpulkan dan dijilid menjadi sebuah buku kecil, "Pesan Hidup Warga Emas PAWE@MyAgeing", sebagai sumber inspirasi kepada masyarakat.
Kemuncak program menyaksikan beberapa peserta tampil berkongsi pesan hidup mereka secara terbuka, sekali gus menyemarakkan suasana penuh emosi dan penghargaan terhadap pengalaman hidup yang berharga. Program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan sesama peserta, malah membuktikan bahawa setiap kehidupan mempunyai makna tersendiri yang wajar dikongsi. Seperti yang ditekankan dalam sesi penutup, setiap pesan yang disampaikan merupakan “hadiah kepada dunia” dan simbol kebijaksanaan yang tidak ternilai.
![]() |
![]() |
![]() |
Disediakan oleh:
Farid Jihadi Sulaiman
Pegawai Eksekutif
Unit Eksperimentasi Penjagaan Warga Emas
Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®)
Date of Input: 23/04/2026 | Updated: 24/04/2026 | ainulmardiyyah

Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA