Serdang, 11 April – Jawatankuasa Latihan dan Sumber Pembelajaran (TERA), Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), telah menganjurkan satu sesi webinar bertajuk "Avoiding Pitfalls in Article Journal Writing". Webinar ini disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Hasanain Faisal Ghazi Habasha dari Kolej Kejururawatan, Universiti Al-Bayan.
Program ini bertujuan untuk membincangkan kesilapan umum yang sering berlaku semasa penulisan artikel penyelidikan. Seramai 18 peserta telah mengambil bahagian dalam sesi ini. Mereka mendapat pendedahan mengenai pelbagai kesilapan yang boleh dielakkan, termasuk dari segi format penulisan serta kepentingan penggunaan Bahasa Inggeris yang tepat dan berkesan.
Sepanjang sesi, peserta turut diingatkan tentang kepentingan mematuhi garis panduan format jurnal yang betul serta mengekalkan kejelasan dan ketepatan dalam penyampaian maklumat. Dr. Hasanain telah membincangkan dengan terperinci setiap komponen dalam penulisan artikel penyelidikan — bermula daripada bahagian abstrak hinggalah ke bahagian rujukan serta meneliti kesilapan biasa yang sering berlaku dalam setiap komponen tersebut.
Di penghujung webinar, Dr. Hasanain menegaskan bahawa penguasaan bahasa yang baik dan pemilihan jurnal yang berkualiti merupakan kunci utama bagi memastikan artikel diterima untuk penerbitan. Sesi tersebut diakhiri dengan sesi soal jawab ringkas bagi menjawab pertanyaan daripada para peserta.
Bagi mereka yang ingin memperkukuhkan kepakaran mereka, kami mengalu-alukan permohonan untuk kursus yang dianjurkan oleh MyAgeing® di alamat e-mel berikut: tera.myageing@upm.edu.my / myageing@upm.edu.my / dir.ippm@upm.edu.my.
Date of Input: 14/04/2025 | Updated: 14/04/2025 | n_asyikin

Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA