Memperdana Atribut Keusahawanan Pelajar Universiti | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
» ARTIKEL » Memperdana Atribut Keusahawanan Pelajar Universiti

Memperdana Atribut Keusahawanan Pelajar Universiti

Bagi mereka yang berkesempatan memberi syarahan dan menggubal program akademik pada tahun 1970an dan awal 1980an, matlamat sesuatu program akademik pada masa itu adalah untuk melahirkan graduan yang dapat memenuhi keperluan sektor awam dan swasta. Fungsi universiti ketika itu, apa yang dipanggil Universiti Generasi Pertama (UG1), hanya berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran.

Bagaimanapun, dengan pembangunan ekonomi yang pesat, universiti telah berfokus, selain daripada pengajaran dan pembelajan, kepada penyelidikan. Ini yang dipanggil Universiti Generasi Kedua (UG2). Syarahan bukan hanya berasaskan ilmu di buku-buku teks, tetapi juga berasaskan ilmu hasil daripada penyelidikan pensyarah. Justeru kandungan syarahan bukan hanya daripada ilmu orang lain, tetapi juga daripada ilmu pensyarah itu sendiri terbitan daripada penyelidikan mereka. Pelajar bukan hanya diberi ilmu, tetapi juga didedahkan dengan kemahiran menjalankan penyelidikan.

Hari ini, semakin banyak universiti secara aktif mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pengetahuan mereka selain daripada tugas pengajaran dan penyelidikan saintifik. Hasil penyelidikan dikenalpasti pasti sebagai sumber dana dan kekayaan. Universiti dipandang sebagai pencetus aktiviti keusahawanan baru dengan memanfaatkan pengetahuan daripada penemuan penyelidikan mereka. Inilah yang kita panggil Universiti Generasi Ketiga (UG3).

Bagaimanapun, di negara sedang membangun, kebanyakan universiti masih berada di tahap UG2 di mana tumpuan penyelidikan adalah pada output dan bukannya hasil penyelidikan. Walaupun output penyelidikan seperti penerbitan jurnal, sitasi, dan paten sangat penting, hasil sebenar penyelidikan adalah nilai dan penjanaan kekayaan yang dihasilkan daripada pengkomersialan dengan usahawan yang mengkomersialkan produk penyelidikan.

Apakah implikasi perkembangan UG3 ini kepada pengajaran dan pembelajaran serta graduan yang akan dilahirkan? 

Jika dilihat daripada perkembangan universiti, pelajar dididik di UG1 untuk mengenalpasti fakta dan mempertahankan sesuatu kebenaran. Di UG2 pula, pelajar diperkenalkan dengan kemahiran penyelidikan untuk menyiasat fakta dan kebenaran. Tetapi di UG3, pelajar dipupuk untuk menjadi usahawan. Matlamat pendidikan di universiti bukan hanya untuk mendapat perkerjaan, tetapi untuk melahirkan usahawan yang dapat mengkomersialkan hasil penyelidikan UG3.     

Di Universiti Putra Malaysia (UPM), contohnya, terdapat beberapa hasil penyelidikan dan inovasi dalam bidang pertanian seperti persekitaran terkawal, pertanian tepat, pengawalan biologi, biobaja dan varieti tanaman baharu yang boleh dikomersialkan oleh graduan. Persoalannya adakah universiti yang bercirikan akademik mampu untuk melahirkan usahawan. Maksudnya bukan sebarang usahawan, tetapi tekno-usahawan yang dapat mengkomersilkan teknologi dan inovasi tinggi.

Bagi merealisasikan kelahiran graduan yang mempunyai atribut keusahawanan, UPM telah menjalankan Program Inkubasi Usahawantani bagi melahirkan usahawantani yang berdaya maju sebagai pemangkin kepada pengkomersialan sektor pertanian. Kini melalui program ini, pelajar UPM telah berjaya menubuhkan 85 syarikat perniagaan yang melibatkan 278 usahawantani.

Bagi menjamin kelestarian program inkubasi ini, pakatan strategik dengan agensi kerajaan dan swasta adalah penting. Buat masa ini program ini telah menjalin pakatan strategik dengan Jabatan Pertanian, FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang, MARDI, LKIM, Agro Bank dan TEKUN. Pakatan strategik dengan syarikat swasta adalah untuk memberi bimbingan kepada pelajar yang mengikuti program ini.

Hakikatnya graduan kini tidak lagi hanya mempunyai ilmu dan kemahiran dalam sesuatu bidang, tetapi graduan perlu yang mempunyai atribut kesuahawanan. Justru universiti perlu bercirikan UG3 untuk  menyediakan ekosistem keusahawanan dan yang penting bagi membolehkan graduan mengkomersialkan produk dan inovasi yang dihasilkan oleh penyelidik universiti.  

 

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Berita Harian pada 3 Mac 2018

  Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin
Pensyarah
Fakulti Pertanian

Tarikh Input: 07/03/2018 | Kemaskini: 07/03/2018 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
SXDdWAO~