SAMBUTAN HARI WARGA EMAS KEBANGSAAN (SHWE) 2024 | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing®)
» ARTIKEL » SAMBUTAN HARI WARGA EMAS KEBANGSAAN (SHWE) 2024

SAMBUTAN HARI WARGA EMAS KEBANGSAAN (SHWE) 2024

Pernyataan Media

 

 

SAMBUTAN HARI WARGA EMAS KEBANGSAAN (SHWE) 2024

Penuaan Bermaruah: Memperkukuh Sistem Penjagaan dan Sokongan Warga Emas

Hari Warga Emas Antarabangsa (International Day of Older Persons) disambut setiap tahun pada 1hb Oktober setelah pengisytiharannya pada 14hb Disember 1990 semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Resolusi UNGA 45/106). Di Malaysia, Sambutan Hari Warga Tua Kebangsaan yang pertama telah diadakan pada 1hb Oktober 1992, dan sejak itu telah diraikan di peringkat persekutuan, negeri, dan tempatan.

Tema untuk IDOP 2024 adalah “Penuaan Bermaruah: Memperkukuh Sistem Penjagaan dan Sokongan Warga Emas”. Dengan peningkatan populasi warga emas di serata dunia, peralihan demografi ini sedang mengubah landskap penjagaan, baik untuk penjagaan berbayar atau tidak berbayar dalam situasi formal dan tidak formal. Permintaan untuk penjagaan kesihatan dan sosial telah meningkat dengan ketara, samada di rumah, dalam komuniti, atau di institusi. Malaysia tidak terkecuali daripada tren ini, kerana Negara juga dalam proses transisi daripada penjagaan keluarga secara tradisional ke sistem penjagaan warga emas yang dipacu oleh perkhidmatan berbayar di pasaran. Seiring dengan perkembangan ini, peranan Kerajaan kian berubah untuk memastikan sistem perlindungan sosial yang mampan, penyediaan penjagaan kesihatan dan jangka panjang (LTC), serta peluang pembelajaran sepanjang hayat dan pekerjaan bagi golongan warga emas.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Kerajaan Madani atas pengiktirafan dan komitmen terhadap pelaburan dalam 'Ekonomi Penjagaan' (Care Economy) sebagai salah satu tonggak pembangunan Negara. Seperti yang dinyatakan, selain keperluan latihan dan pendidikan dalam bidang gerontologi dan geriatrik, kita perlu menghargai sumbangan yang tidak ternilai oleh penjaga ahli keluarga dan pekerja penjagaan, khususnya peranan kaum wanita yang sering diambil mudah tanpa pampasan mahupun pulangan yang setimpal.

Penjagaan dan sokongan untuk warga emas memerlukan pendekatan seluruh Kerajaan dan seluruh Masyarakat kerana pihak berkepentingan merangkumi pelbagai pihak dari sektor awam dan swasta di semua peringkat pentadbiran (kerajaan persekutuan, negeri/wilayah, dan tempatan). Tanpa koordinasi dan penetapan keutamaan yang berkesan, hak warga emas untuk menua secara bermaruah akan terjejas, menjadikan mereka mangsa mudah kepada penganiayaan, pengabaian, dan eksploitasi. Sudah tiba masanya untuk kita menilai apa yang boleh dilakukan untuk permodenan industri penjagaan warga emas, sejajar dengan keperluan dan aspirasi yang berubah mengikut peredaran zaman bagi golongan tua dan keluarga mereka.

Ke arah ini, Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®) di Universiti Putra Malaysia aktif bekerjasama dengan rakan strategik yang berdedikasi untuk memperkukuh sistem penjagaan dan sokongan warga emas menerusi pendekatan sepanjang hayat. Seiring dengan sambutan IDOP 2024, MyAgeing® akan menganjurkan persidangan ilmiah selama dua hari bermula dari 23hb Oktober 2024 di Putrajaya. Persidangan Penuaan Kebangsaan ini diadakan setiap dua tahun dan berfungsi sebagai medan perkongsian penemuan penyelidikan bagi pemakluman dan promosi penggubalan dasar berasaskan bukti. Dalam memperingati

SHWE 2024, kami meraikan kebijaksanaan, daya tahan, dan sumbangan warga emas sejagat menerusi komitmen yang berterusan ke arah pembinaan masyarakat madani yang memartabat dan mendukung maruah, harga diri, kesihatan dan kesejahteraan warga emas.

PM. Dr. Rahimah IBRAHIM (imahibrahim@upm.edu.my)

Pengarah, Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor

 

 

 

Tarikh Input: 01/10/2024 | Kemaskini: 01/10/2024 | norhanika

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing®)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
X, (04:22:53am-04:27:53am, 08 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]