Empowering Dementia Care: Perolehan Daripada Seminar MyAgeingâ„¢ | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
» BERITA » Empowering Dementia Care: Perolehan daripada Seminar MyAgeingâ„¢

Empowering Dementia Care: Perolehan daripada Seminar MyAgeingâ„¢

Serdang, 25 Mac - Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing™) menganjurkan seminar bertajuk "Empowering Dementia: A Positive Approach" Ucapan ini disampaikan oleh Puan Teepa Snow, Pakar Penjagaan Demensia dan Pengajar Pendekatan Positif untuk Penjagaan.

 

Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai perubahan neurologikal dalam otak serta impaknya terhadap individu yang mengalami demensia. Selain itu, program ini bertujuan untuk menyediakan peserta dengan strategi praktikal dalam penjagaan demensia dan teknik-teknik untuk berkomunikasi secara efektif, menghadapi situasi yang mencabar, serta memberikan penjagaan yang berpusatkan individu kepada individu yang menghidapi demensia.

 

Sejumlah 24 peserta, terdiri daripada kakitangan MyAgeing, penjaga kesihatan profesional, dan orang awam menerima fahaman tentang kompleksiti penjagaan demensia dan belajar untuk menggunakan pendekatan yang lebih positif serta mempraktikkan teknik yang wajar untuk meningkatkan kemahiran penjagaan mereka.

 

"(Mengenai penjagaan demensia), apabila kita tidak mengetahui apa-apa, kita tidak dapat berbuat apa-apa," kata Puan Teepa Snow.

 

 

Puan Teepa Snow ditemani oleh Dr. Beth Nolan, Pengarah Penyelidikan dan Dasar, yang secara aktif melibatkan diri dalam pelbagai senario lakonan, meningkatkan demonstrasi teknik penjagaan demensia. Sementara itu, Dr. Leela A/P Koran, dari Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, bertugas sebagai penterjemah bagi memastikan konsep-konsep utama disampaikan dengan berkesan kepada peserta, seterusnya meningkatkan pemahaman mereka.

 

"Demensia menyebabkan persepsi penglihatan seseorang menjadi semakin kecil. Mereka akan kehilangan 'kesedaran keselamatan' di samping mengalami kehilangan penglihatan periferal. Penglihatan binokular ini lantas membataskan perhatian dan tumpuan seseorang," kata Puan Teepa Snow.

 

Puan Teepa Snow memberi penerangan tentang kepentingan mengenai perubahan dalam persepsi visual seseorang yang disebabkan oleh demensia, dan bagaimana ia boleh mempengaruhi cara mereka bertindak balas terhadap sesuatu pendekatan. Sebilangan besar penjaga kesihatan profesional atau orang-orang di sekeliling individu yang menghidap demensia cepat untuk mengandaikan keadaan seseorang tanpa memikirkan mengapa mereka bertindak sedemikian. Puan Teepa Snow memperkenalkan perspektif baru tentang memahami punca-punca tingkah laku yang ditunjukkan oleh individu yang menghidap demensia, menekankan keperluan untuk empati dan pendekatan penjagaan yang sesuai.

 

Secara kesimpulannya, seminar ini menyediakan sokongan dan sumber yang berkesan untuk rakan kongsi penjagaan keluarga, penjaga kesihatan profesional, dan individu yang terlibat dalam penjagaan penghidap demensia. Bagi mereka yang ingin mengembangkan lagi kepakaran mereka, kami mengalu-alukan permohonan untuk kursus yang dianjurkan oleh MyAgeing™ di alamat e-mel berikut: tera.myageing@upm.edu.my / myageing@upm.edu.my / dir.ippm@upm.edu.my

 

   


Laporan disediakan oleh:

 

Umairah Safiah binti Noor Azmi

Pelajar Praktikal

Tarikh Input: 26/03/2024 | Kemaskini: 26/03/2024 | n_asyikin

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
SXEcXAN~