Serdang, 22 Mei – Jawatankuasa Latihan dan Sumber Pembelajaran (TERA), Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia telah berjaya menganjurkan Kursus Komunikasi Berkesan dengan Warga Emas yang berlangsung dalam suasana penuh interaktif.
Kursus ini telah dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Zainal bin Madon, Timbalan Dekan (Siswazah, JINM & Penjanaan Pendapatan), Fakulti Ekologi Manusia, UPM. Beliau berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang komunikasi, khususnya dalam konteks penjagaan dan interaksi dengan warga emas.
Seramai 13 peserta terdiri daripada staf UPM, pengendali pusat jagaan dan orang awam telah menyertai kursus ini. Mereka didedahkan kepada asas komunikasi berkesan merangkumi tiga jenis komunikasi utama: intrapersonal, interpersonal dan komunikasi spiritual. Penekanan diberikan kepada nilai-nilai penting seperti kemesraan, penerimaan tanpa syarat, kejujuran, konsistensi (kongruen) serta empati yang menjadi teras dalam membina hubungan yang positif dengan warga emas.
Antara topik menarik yang disentuh termasuklah teknik menangani isu kurang keyakinan diri dalam kalangan warga emas serta halangan komunikasi seperti kelemahan kemahiran mendengar, perbezaan emosi, persepsi dan intonasi. Aktiviti Role Play turut dijalankan bagi memberikan pengalaman secara langsung kepada peserta dalam mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari.
Menurut Prof. Madya Dr. Zainal, memahami dan mengurus halangan komunikasi amat penting bagi penjaga warga emas. “Setiap penjaga perlu memberi perhatian terhadap aspek komunikasi ini agar interaksi harian lebih lancar dan konflik dapat diminimumkan,” jelas beliau.
MyAgeing® terus komited dalam menyediakan latihan berimpak tinggi bagi memperkukuhkan kompetensi penjagaan warga emas di negara ini. Bagi yang berminat menyertai kursus-kursus akan datang, sila hubungi pihak TERA di tera.myageing@upm.edu.my.
Tarikh Input: 22/05/2025 | Kemaskini: 22/05/2025 | n_asyikin

Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA