PETALING JAYA, 22 Ogos – Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan usaha memperkasa masyarakat dalam menghadapi perubahan demografi negara menerusi Siri 2 Program Libat Urus Komuniti “Menua Sihat, Hidup Sejahtera Bersama” di Pusat Aktiviti JKRT Seksyen 6, Petaling Jaya.
Program anjuran bersama Rukun Tetangga Seksyen 6, Petaling Jaya dan MyAgeing® itu memberi tumpuan kepada perkongsian ilmu serta kesedaran mengenai penuaan sihat, keselamatan, teknologi, sokongan sosial dan kesejahteraan warga emas.
Penganjuran program itu bertepatan dengan perubahan struktur penduduk Malaysia yang semakin menua. Malaysia dijangka menjadi negara menua pada 2030, apabila penduduk berusia 60 tahun dan ke atas melebihi 15 peratus daripada keseluruhan penduduk.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah MyAgeing®, Prof. Madya Dr. Rahimah Ibrahim, yang menekankan kepentingan penglibatan komuniti dalam membina persekitaran yang menyokong penuaan sihat, aktif dan sejahtera.
Program turut mendapat sokongan kepimpinan setempat menerusi kehadiran ADUN Bukit Gasing, YB Rajiv Rishyakaran, yang turut menyampaikan ucapan perasmian, serta Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Bryan Ng Yih Miin. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen bersama antara institusi penyelidikan, kepimpinan setempat dan komuniti dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Program diteruskan dengan perkongsian bertajuk “Teknologi Membantu dan Persekitaran Menyokong” oleh Pegawai Penyelidik MyAgeing®, Chai Sen Tyng, yang mengetengahkan peranan teknologi bantuan dan persekitaran mesra usia dalam membantu warga emas menjalani kehidupan dengan lebih selamat dan berdikari.
Peserta turut mengikuti sesi interaktif Brain Gym yang dikendalikan oleh Pegawai Pemulihan Perubatan (Cara Kerja) MyAgeing®, Najwa Najihah Mohd Azmi, sebelum diteruskan dengan forum “Safe Homes, Safe Lives” yang memberi tumpuan kepada isu kediaman selamat, literasi digital, penuaan positif dan sokongan sosial.
Sesi perkongsian tersebut menampilkan Prof. Madya Dr. Wong Chui Yin dari The Design School, Faculty of Innovation and Technology, Taylor’s University serta Dr. Wan Arnidawati Wan Abdullah, Ketua Laboratori Gerontologi Sosial MyAgeing®, sebagai panel, manakala Pegawai Penyelidik MyAgeing®, Mohd. Rizal Hussain, bertindak sebagai moderator.
Selain perkongsian ilmu, program turut menyediakan saringan kesihatan dan pameran sebagai usaha mendekatkan maklumat, kepakaran serta perkhidmatan berkaitan penuaan kepada masyarakat.
Penganjuran Siri Libat Urus Komuniti ini mencerminkan komitmen MyAgeing® dalam memastikan hasil penyelidikan dan kepakaran berkaitan penuaan dapat diterjemahkan kepada masyarakat, sekali gus membantu komuniti membuat persediaan lebih awal dalam menghadapi realiti penuaan penduduk negara.
Tarikh Input: 28/08/2026 |
Kemaskini: 28/08/2026 | lizamdnor
PERKONGSIAN MEDIA