MyAgeing® Terajui Program Kampung Kenanga@Putra, Perkukuh Kolaborasi Universiti Dan Komuniti | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing®)
» BERITA » MyAgeing® terajui Program Kampung Kenanga@Putra, perkukuh kolaborasi universiti dan komuniti

MyAgeing® terajui Program Kampung Kenanga@Putra, perkukuh kolaborasi universiti dan komuniti

20 Disember 2025 - Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerajui penganjuran Program Kampung Kenanga@Putra pada 20 Disember 2025 bertempat di Kampung Kenanga, Rawang sebagai inisiatif jangkau luar berimpak tinggi dalam memperkukuh hubungan universiti dan komuniti setempat. Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Desa Madani Kampung Kenanga Rawang serta Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kampung Kenanga Rawang.

Pengarah MyAgeing®, Prof. Madya Dr. Rahimah Ibrahim berkata program tersebut bukan sekadar aktiviti kemasyarakatan, malah menjadi platform strategik pemerkasaan komuniti yang memberi fokus kepada penuaan aktif dan sihat, penglibatan intergenerasi serta pemindahan ilmu berasaskan penyelidikan. Menurut beliau, inisiatif seumpama ini membolehkan kepakaran akademik dan dapatan penyelidikan MyAgeing® diterjemahkan kepada impak sebenar di peringkat komuniti.

“Sebagai institut penyelidikan penuaan di peringkat nasional, MyAgeing® berperanan sebagai hab penyelidikan, pendidikan dan pembangunan modal insan dalam bidang penuaan. Program seperti ini membolehkan kami menyokong kesejahteraan warga emas, keluarga dan masyarakat secara inklusif, khususnya dalam konteks negara yang sedang menuju ke arah masyarakat menua,” katanya.

Program Kampung Kenanga@Putra telah menarik penyertaan aktif penduduk setempat melalui pelbagai aktiviti fizikal, saringan kesihatan dan pameran interaktif yang direka untuk semua peringkat umur. Antara pengisian utama termasuk senaman chairobic, sukaneka intergenerasi, saringan kesihatan holistik menggunakan pendekatan ICOPE, serta pameran kesedaran penuaan yang menampilkan permainan kognitif, Ageing Suit dan teknologi realiti maya (VR).

Secara keseluruhannya, penganjuran Program Kampung Kenanga@Putra mencerminkan komitmen berterusan MyAgeing® dan UPM dalam melaksanakan tanggungjawab sosial universiti melalui pembelajaran berasaskan komuniti serta pengukuhan jaringan kerjasama jangka panjang. Program ini turut menjadi contoh model kolaborasi universiti–komuniti yang berimpak tinggi dan lestari dalam menyokong kesejahteraan sosial, khususnya warga emas di peringkat akar umbi.

 

Tarikh Input: 23/12/2025 | Kemaskini: 23/12/2025 | norhanika

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing®)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
X, (04:27:35am-04:32:35am, 08 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]