Serdang, 19 Jun – Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), UPM telah memulakan program MyAgeing® Wellness Challenge 2026 sebagai usaha memperkasakan kesejahteraan dan kesihatan warga kerja melalui amalan gaya hidup sihat yang berterusan.
Program yang melibatkan penyertaan staf MyAgeing® ini dimulakan dengan sesi Penilaian Awal Tahap Kesihatan yang merangkumi pengukuran antropometrik, parameter kesihatan, kecergasan fizikal serta penilaian tingkah laku dan gaya hidup. Penilaian awal ini bertujuan mendapatkan profil kesihatan peserta sebagai garis dasar sebelum mereka mengikuti cabaran program kesihatan yang telah dirancang.
Penganjuran program ini selaras dengan aspirasi True North UPM dalam Amanat Naib Canselor UPM Tahun 2026 bagi membentuk warga universiti yang sihat, sejahtera dan produktif. Inisiatif ini juga menyahut seruan Naib Canselor UPM berkaitan Kesihatan Planet (Planetary Health) yang menekankan hubungan antara kesejahteraan manusia, masyarakat dan alam sekitar dalam mewujudkan kehidupan yang lebih mampan.
Melalui program ini, peserta digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup sihat, meningkatkan tahap aktiviti fizikal serta memantau perkembangan kesihatan masing-masing secara berkala. Diharapkan MyAgeing® Wellness Challenge 2026 dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya kerja yang lebih sihat dan seterusnya menyokong kesejahteraan warga institut dan komuniti secara berterusan.
Tarikh Input: 25/06/2026 |
Kemaskini: 25/06/2026 | n_asyikin
PERKONGSIAN MEDIA