SERDANG, 27 Februari 2025 – Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing

) dengan kerjasama ASEAN Tourism Research Associate (ATRA) telah menganjurkan Forum Pelancongan Warga Emas yang menghimpunkan delegasi dari pelbagai negara di Asia Tenggara, termasuk Thailand dan Singapura.
Forum ini berfungsi sebagai platform bagi meningkatkan kesedaran tentang potensi besar pelancongan warga emas dalam industri pelancongan, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Forum yang berlangsung hari ini membawa tema "The Emerging Senior Tourism Market and Inclusive Development in ASEAN.”
Menurut laporan, kebanyakan negara di dunia, termasuk di rantau Asia Tenggara, mencatat peningkatan populasi warga emas yang ketara. Golongan ini kini mempunyai pendapatan yang stabil serta keinginan untuk melancong bagi memenuhi impian dan memperoleh pengalaman bermakna. Namun, keperluan unik mereka menimbulkan cabaran kepada industri pelancongan dalam menyediakan perkhidmatan yang bersesuaian.
"Populasi warga emas seharusnya diberikan peluang yang sama dan tidak dipinggirkan dalam menikmati pengalaman pelancongan yang bermakna," kata Y.M. Tunku Dato’ Seri (Dr.) Iskandar Tunku Abdul Rahman.
Beliau menambah bahawa pengalaman pelancongan yang mesra warga emas perlu mengambil kira faktor seperti itinerari yang tenang, kemudahan mesra warga emas, serta sokongan daripada aspek teknologi dan kesihatan untuk memastikan pengalaman yang positif.
Pengarah MyAgeing

, Prof. Madya Dr. Rahimah Ibrahim, turut menekankan peranan penting pemain industri dan pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, dalam menyokong serta memperkasa pengalaman pelancongan warga emas. Beliau juga berkata mengenai kepentingan teknologi seperti kecerdasan buatan dan alam maya untuk diterokai dalam memberi peluang untuk warga emas menikmati pengalaman pelancongan yang diingati.
"Negara-negara ASEAN mempunyai potensi besar dalam pelancongan warga emas yang mampu menarik perhatian pelancong antarabangsa. Namun, rantau ini masih agak perlahan dalam memenuhi keperluan pelancongan warga emas berbanding kawasan lain di dunia," katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan memberi tumpuan kepada pengalaman pelancongan premium, aktiviti yang menyihatkan dan menenangkan, serta keselesaan dari segi infrastruktur dan sistem pengangkutan awam.
Forum ini turut menyaksikan penyerahan cenderamata berupa buku terbitan Universiti Putra Malaysia (UPM), yang disampaikan oleh Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Haji Hameed Sultan, Pengarah Penerbit UPM, kepada Presiden ATRA, Prof. Dr. Neethiahnanthan Ari Ravagan, dengan disaksikan Pengarah MyAgeing

.
Acara ini juga menampilkan sesi panel yang dianggotai pakar pelancongan serantau, Y.M. Tunku Dato’ Seri (Dr.) Iskandar Tunku Abdul Rahman, Prof. Datuk Seri Dr. Victor Wee Eng Lye, Prof. Madya Dr. Pornpisanu Promsivapallop, Prof. Madya Dr. Rahimah Ibrahim dan Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Haji Hameed Sultan dimoderasikan oleh Dr. Puvaneswaran Kunasekaran. Forum ini berjaya menarik penyertaan seramai 100 orang, termasuk peserta fizikal dan maya.
Untuk rekod, MyAgeing

merupakan institusi penyelidikan kebangsaan yang komited dalam meningkatkan kesejahteraan warga emas melalui kajian merentas pelbagai disiplin, termasuk perubatan, kesihatan, teknologi, dan sosial. Institusi ini turut memainkan peranan dalam mempengaruhi dasar berkaitan warga emas di Malaysia.
Disediakan oleh:
 |
Dr. Muhammad Hibatullah Romli Ketua Laboratori Gerontologi Perubatan dan Geronteknologi Tel : +603-9769 2752 Faks : +603 - 9769 2744 E-Mel : mhibatullah@upm.edu.my
|
Tarikh Input: 28/02/2025 |
Kemaskini: 28/02/2025 | norhanika
PERKONGSIAN MEDIA