Serdang, 30 Julai 2026 – Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melaksanakan Penilaian Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Peringkat Kedua pada hari ini.
Penilaian ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MyAgeing® dalam memperkukuh budaya kerja berkualiti, sistematik dan kondusif selaras dengan amalan EKSA. Sesi penilaian telah dikendalikan oleh dua orang juruaudit iaitu Puan Wan Rohani Wan Mohamed (BHEP) dan Encik Adidi Tamin (PKKSSAAS).
Turut hadir dalam sesi penilaian tersebut ialah Timbalan Pengarah MyAgeing®, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Nazim Mohtar, yang telah menyampaikan cenderamata penghargaan kepada kedua-dua juruaudit sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan kerjasama dalam melaksanakan penilaian EKSA di MyAgeing®.
Sepanjang sesi penilaian, pelbagai aspek telah dinilai termasuk pengurusan ruang kerja, dokumentasi, kebersihan, keselamatan, inovasi serta pematuhan terhadap kriteria EKSA yang telah ditetapkan. Warga MyAgeing® turut memberikan kerjasama yang baik dalam memastikan setiap zon berada dalam keadaan kemas, teratur dan memenuhi piawaian EKSA.
Pelaksanaan EKSA di MyAgeing® terus memberi penekanan kepada tujuh elemen utama iaitu Imej Korporat, Ekosistem Kondusif, Kerja Cekap, Sistematik, Amalan Bersih, Persekitaran Selesa dan Impak Positif. Amalan ini diyakini mampu meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan profesional.
Diharapkan hasil penilaian ini akan menjadi pemangkin kepada usaha penambahbaikan berterusan dalam memperkukuh budaya kerja cemerlang di MyAgeing®, selaras dengan aspirasi Universiti Putra Malaysia ke arah organisasi yang berkualiti dan berprestasi tinggi.
Tarikh Input: 30/07/2026 |
Kemaskini: 30/07/2026 | norhanika
PERKONGSIAN MEDIA