SERDANG, 7 Ogos 2025 – Menyedari kepentingan pengurusan harta pusaka yang terancang dalam memastikan kesejahteraan keluarga dan kelangsungan legasi, Jawatankuasa Latihan dan Sumber Pembelajaran (TERA) dan Hab Pendidikan dan Literasi Kewangan (MyFiLE), Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan kerjasama Persatuan Kesihatan Kewangan Malaysia (FAHAM), telah menganjurkan satu sesi taklimat bertajuk “Kepentingan Penyediaan Wasiat.”
Taklimat yang berlangsung penuh interaktif ini merupakan salah satu inisiatif penting di bawah program pendidikan kewangan komuniti MyAgeing®, yang bertujuan untuk memperkasa ilmu pengurusan kewangan dalam kalangan masyarakat, khususnya warga emas dan kumpulan rentan.
Sesi ini telah dikendalikan oleh Puan Nurul Kamilah Hanif, Penasihat undang-undang berpengalaman dari Banyan Tree Money Academy, yang telah berjaya menarik minat 55 orang peserta. Peserta yang hadir terdiri daripada peserta kursus anjuran Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM), staf MyAgeing® serta ahli Persatuan Pembelajaran Sepanjang Hayat Warga Emas U3A Malaysia.
Dalam pembentangannya, Puan Nurul Kamilah menekankan bahawa penyediaan wasiat bukan sahaja memudahkan urusan pembahagian harta pusaka, malah mampu mengelakkan pertikaian keluarga dan konflik undang-undang yang berpanjangan. Beliau turut menyentuh tentang realiti pahit yang berlaku apabila seseorang meninggal dunia tanpa wasiat, menyebabkan waris terpaksa melalui proses yang sukar dan memakan masa.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan MyAgeing® dan FAHAM dalam mengangkat tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perancangan kewangan yang menyeluruh, inklusif dan lestari seiring dengan matlamat meningkatkan kesejahteraan sosial dalam kalangan rakyat Malaysia.
Tarikh Input: 07/08/2025 |
Kemaskini: 07/08/2025 | ainulmardiyyah
PERKONGSIAN MEDIA