USM Juara Retirement-Oriented Development Design Competition 2019 (RODDC2019) | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
» BERITA » USM juara Retirement-Oriented Development Design Competition 2019 (RODDC2019)

USM juara Retirement-Oriented Development Design Competition 2019 (RODDC2019)

SERDANG, 27 Oktober 2020 – Kumpulan Hyden Park, Universiti Sains Malaysia (USM) menjuarai pertandingan Retirement-Oriented Development Design Competition 2019 (RODDC2019). Kumpulan tersebut memenangi hadiah wang tunai RM10,000.00 berserta sijil penyertaan pada Majlis Penyampaian Hadiah RODDC2019 yang berlangsung secara sidang video.

Tempat kedua dimenangi oleh Mount Link dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang membawa pulang RM8,000.00 dan sijil penyertaan sementara tempat ketiga pula dimenangi oleh Kaseh Sanctuary dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang membawa pulang RM6,000.00 dan sijil penyertaan.

Pertandingan itu menawarkan wang tunai keseluruhan bernilai RM45,000.00 yang disumbangkan oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dan dianjurkan bersama KWEST Sdn. Bhd. (KWEST), iaitu sebuah anak syarikat milik penuh KWAP, dan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeingTM), Universiti Putra Malaysia (UPM). Pertandingan ini telah diadili oleh juri-juri professional yang terdiri daripada kumpulan arkitek, pakar gerontologi, arkitek lanskap dan pemaju harta tanah.  

 RODDC2019 adalah pertandingan rekabentuk pembangunan kawasan seluas 23 ekar di UPM, Serdang yang dibuka kepada semua pelajar pelbagai bidang daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta Malaysia. Pertandingan yang bermula pada November 2019 yang lalu bertujuan untuk menggalakkan generasi masa hadapan untuk merancang pembangunan inklusif dan holistik yang dapat memenuhi keperluan pelbagai kumpulan sasar dan berorientasikan warga emas. Tema pertandingan ini adalah Tropical, Sustainable and Enabling Senior Living.

 Peserta pertandingan dikehendaki untuk mengetengahkan rekabentuk fleksibel yang mampu memenuhi keperluan penghuni dipelbagai peringkat kehidupan yang berbeza dalam kitaran hidup. Mereka digalakkan untuk menghasilkan idea-idea kreatif serta berinovasi dan pada masa yang sama mengekalkan elemen praktikal yang berpotensi untuk direalisasikan dalam meningkatkan kualiti hidup kesemua golongan terutamanya kumpulan warga emas pada masa akan datang.

 Sempena Hari Warga Emas Kebangsaan 2020 yang disambut pada 1hb Oktober setiap tahun, pihak jawatankuasa pertandingan RODDC2019 juga telah menganjurkan forum bertajuk “Age Friendly City: The Future of Community Living” yang turut dilangsungkan secara sidang video sebelum majlis penyampaian hadiah RODDC2019.

 Moderator bagi forum tersebut ialah Sufian Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif KWEST dan ahli panel terdiri daripada Dato’ Dr. Tengku Aizan Hamid, Felo Penyelidik, MyAgeingTM, UPM; TPr. Khairiah Talha, Ahli Majlis Penasihat Pertubuhan Perancang Malaysia; Ar. Mustapha Kamal Zulkarnain, Pengarah Urusan, Arkitek Mustapha Kamal dan Dr. Azmizam Abdul Rashid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Urbanice Malaysia.

 Forum itu membincangkan tentang persediaan Malaysia dalam mencapai status “negara tua” menjelang tahun 2030 dimana dijangkakan 15% daripada penduduk negara pada ketika itu akan terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

 Turut dibincangkan ialah peranan yang perlu diambil oleh penggubal dasar dengan mengambil kira keperluan warga emas dalam perancangan bandar atau masyarakat bagi memastikan warga emas mempunyai akses kepada persekitaran kediaman yang kondusif dan mampu dimiliki untuk kehidupan yang lebih sempurna. – UPM

         
     
         

 

Tarikh Input: 02/11/2020 | Kemaskini: 06/11/2020 | lizamdnor

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
SXEUXAZ~