Wakaf Pak Ngah Atan: Legasi Cendekiawan UPM Untuk Warga Emas | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing®)
» BERITA » Wakaf Pak Ngah Atan: Legasi Cendekiawan UPM untuk Warga Emas

Wakaf Pak Ngah Atan: Legasi Cendekiawan UPM untuk Warga Emas

 

PAROI, 4 Ogos 2025 – Majlis Perasmian Wakaf Pak Ngah Atan (WPNA) telah berlangsung hari ini di Taman Golf Heights, Ampangan, Paroi, Negeri Sembilan.

WPNA merupakan sebuah banglo setingkat yang telah diwakafkan kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) oleh Puan Hajah Hasnah Udin, bekas pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, UPM, bersama arwah suami beliau, Allahyarham Hj. Ir. Abdul Rahman Yaakob atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah Atan, bekas pensyarah Fakulti Kejuruteraan, UPM.

Bangunan wakaf ini kini ditadbir oleh Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®ï¸), UPM, dengan sokongan strategik daripada Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), UPM, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), serta komuniti setempat.

Ia telah melalui transformasi menjadi Pusat Aktiviti Harian Warga Emas (PAWE@MyAgeing), ruang interaktif untuk aktiviti harian warga emas dan pusat pembangunan ilmu serta penyelidikan komuniti. PAWE@MyAgeing ialah pusat aktiviti harian warga emas pertama di Malaysia yang berasaskan wakaf.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa amalan wakaf sebagai instrumen kebajikan, pendidikan, dan penyelidikan yang memberi manfaat langsung kepada golongan warga emas.

 

 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Dr. Abdul Aziz bin Sheikh Abdul Kadir, Pengerusi MAINS. Perasmian ini bukan sahaja menandakan penghargaan terhadap sumbangan wakaf dalam pembangunan komuniti, malah menjadi pemangkin pemerkasaan peranan institusi wakaf dalam ekosistem pembelajaran komuniti.

Ia turut memperkukuh kedudukan UPM sebagai penerima dan pemegang amanah wakaf yang aktif menyumbang kepada pembangunan ilmu dan inovasi sosial.

Sebagai memenuhi amanah pewakaf, fasa seterusnya bagi WPNA adalah untuk berkembang menjadi pusat penjagaan warga emas dalam komuniti. Perancangan ini bertujuan menyediakan penjagaan jangka panjang yang berteraskan nilai kekeluargaan, kasih sayang dan komuniti yang menyokong.

WPNA diharap menjadi model rujukan wakaf pendidikan dan kesejahteraan sosial, sekaligus mengangkat nilai murni wakaf dalam pembangunan negara yang inklusif dan lestari.

 

Tarikh Input: 05/08/2025 | Kemaskini: 05/08/2025 | ainulmardiyyah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeing®)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
F, (12:39:03am-12:44:03am, 17 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]