Memastikan Kerelevenan Pendidikan Pertanian | INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
» ARTIKEL » Memastikan Kerelevenan Pendidikan Pertanian

Memastikan Kerelevenan Pendidikan Pertanian

 

Pertanian merupakan sektor penting dalam pembangunan sosio-ekonomi negara. Bidang pertanian termasuk tanaman industri merupakan antara 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk memacu aktiviti ekonomi yang berpotensi menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020 telah mengenalpasti strategi  pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti yang dapat memberi jaminan bekalan makanan yang mencukupi dan juga selamat untuk dimakan selain daripada dapat meningkatkan pendapatan petani.

Perubahan struktur dan terdedahnya ekonomi Malaysia kepada globalisasi, menjadikan sektor pertanian sedang dan akan terus mengalami perubahan dan persaingan dari sektor-sektor lain.  Perubahan dan persaingan ini semakin ketara dewasa ini dan tidak mudah untuk diunjurkan persekitaran pertanian yang akan berlaku di masa hadapan.

Bagaimanapun beberapa tren mega global dan domestik yang akan mempengaruhi persekitaran sektor pertanian dapat dikenalpasti seperti berikut:

  1. Proses penbandaran yang cepat – akan menggalakkan pembangunan pertanian bandar dan diramalkan penduduk bandar akan dapat membekalkan makanan mereka sendiri tanpa bengatung kepada bekalan makanan daripada kawasan luar bandar;
  2. Perubahan iklim dan kekangan sumber – isu ini akan lebih menekan lagi dan sektor pertanian perlu menjana hasil penyelidikan tanaman, ternakan dan perikanan yang dapat menyesuaikan dan menggubal instrumen tebatan perubahan iklim. Amalan pertanian mapan dan pengoptimuman input pertanian menjadi lebih penting untuk menjamin pengeluaran pertanian secara kompetitif;
  3. Perubahan demografi, pertumbuhan penduduk dan pendapatan - akan mempengaruhi citarasa dan gelagat pengguna dari segi keperihatinan terhadap keselamatan dan kualiti makanan dan perubahan pemakanan masyarakat Malaysia;
  4. Geopolitik dan perubahan kuasa ekonomi global – akan mempengaruhi tren import dan eksport barangan pertanian dan seterunya imbangan pembayaran negara;
  5. Kejayaan teknologi – perkembangan revolusi industri keempat yang menekankan teknologi realiti maya tanpa banyak menggunakan tenaga manusia akan mempengaruhi struktur penggunaan input sektor pertanian terutama dari segi otomasi, dron dan robotics. Selain daripada itu, teknologi seperti pertanian tepat yang didoringi oleh sensor, genetik dan persekitaran terkawal;
  6. Eksploitasi pengetahuan dan tekno-keusahawanan - fungsi institusi pengajian tinggi telah berubah daripada hanya berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran kepada eksploitasi dan pengkomersialan pengetahuan. Universiti juga dipandang sebagai pencetus aktiviti keusahawanan baru dengan memanfaatkan pengetahuan dari penemuan penyelidikan mereka.
  7. Sistem pengagihan barangan pertanian – juga dengan perkembangan revolusi industri keempat, sistem pengagihan ini akan berubah dengan menggunakan sistem dalam talian. Pasaraya akan berubah menjadi gudang untuk diagihkan kepada pengguna.

Masa hadapan dan bentuk persekitaran sektor pertanian negara dapat diunjurkan  dengan memahami pembolehubah pepandu tersebut dan menangani isu-isu yang timbul.  Oleh itu, kurikulum pendidikan pertanian secara proaktif perlu digubal dan disesuaikan dengan tren mega tersebut supaya pendidikan pertanian adalah relevan dan mengikut kehendak pasaran. Ini bagi memastikan tenaga kerja yang terlatih dalam bidang pertanian memenuhi kehendak sektor pertanian negara supaya usaha untuk meningkatkan produktiviti pertanian negara dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Di samping itu, bagi memastikan graduan pertanian mempunyai minat yang tinggi terhadap bidang pertanian, pengambilan pelajar perlu dilakukan dengan kaedah temuduga dan tidak semata-mata berasaskan pencapaian akademik.

Satu kekurangan dalam sektor pertanian ialah usahwantani yang berkelayakan tinggi. Sangat kecil bilangan graduan pertanian yang menceburi diri dalam kerjaya usahawantani. Oleh itu usaha perlu dipertingkatkan untuk menerapkan ciri-ciri usahawantani kepada sebahagian daripada pelajar yang berminat dan cenderung terhadap kerjaya ini. Latihan tambahan harus diberikan setelah bergraduat seperti program inkubasi usahawantani yang ditawarkan di Universiti Putra Malaysia.

Semasa inkubasi, para peserta dilatih dalam amalan perniagaan pertanian dengan penekanan terhadap penerapan kaedah pelan perniagaan, pengurusan dan pemasaran. Sebagai sebahagian daripada latihan peserta dikehendaki merancang, membiayai dan berjaya mengendalikan "syarikat permulaan". Sepanjang program inkubasi, para peserta menerima bimbingan dan tunjukajar daripada pelbagai pakar di universiti, sektor swasta melalui program "mentor-mantee" dan sokongan dari agensi kerajaan yang berkaitan

Secara kesimpulanya, pendidikan pertanian semestinya mengeluarkan tenaga kerja yang dapat:

  1. Memahami dan menggabungkan tren mega yang memberi kesan kepada sektor pertanian;
  2. Perlu mengamalkan pertanian mampan dan pengoptimuman sumber sumber yang terhad;
  3. Pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknilal dan teknologi pertanian;
  4. Mempunyai kecekapan dalam perniagaan dan ekonomi untuk menangani masalah persaingan global;
  5. Memiliki ciri-ciri keusahawanan; dan
  6. Menjadi ihsan dengan keseimbangan kognitif, psikomotor dan afektif.

 

  Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin
Pensyarah
Fakulti Pertanian

Tarikh Input: 07/03/2018 | Kemaskini: 07/03/2018 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PENUAAN MALAYSIA (MyAgeingâ„¢)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397692750/ 2755
0397692738/ 2744
SXEaNAi~